KOTA KINABALU: Malaysia telah memperolehi pertambahan wilayah seluas 780 hektar yang sebelum ini berada dalam wilayah Indonesia susulan penyelesaian penjajaran semula persempadanan di Pulau Sebatik.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai berkata, hasil itu berdasarkan tindakan yang dibuat secara berpakej dengan penyelesaian penjajaran semula persempadanan di Sungai Sinapad dan Sungai Sesai.
“Maka sempadan darat Pulau Sebatik dan sempadan darat di Sungai Sinapad dan Sungai Sesai telah dimuktamadkan melalui pementaraian memorandum persefahaman (MoU) No.23 pada 18 Februari 2025 antara Malaysia dan Indonesia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada sesi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 di sini pada Rabu.
ADUN Kiulu itu menekankan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa dilibatkan secara konsisten dalam setiap peringkat rundingan teknikal dan diplomatik melalui penyertaan wakil-wakil daripada Jabatan Ketua Menteri Sabah, Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah dan Jabatan Tanah dan Ukur Sabah.
“Keseluruhan proses rundingan, penandaan dan pengukuran ini dilaksanakan berdasarkan persetujuan bersama antara kedua-dua negara selaras dengan undang-undang antarabangsa serta tidak melibatkan prinsip pampasan, timbal balik atau pertimbangan untung-rugi.
“Malaysia bertindak menghormati instrumen perundangan antarabangsa demi menegakkan hak negeri Sabah dan memastikan kawalan keselamatan sempadan yang jauh lebih efektif dan diiktiraf kedua-dua negara,” katanya.






