
PENAMPANG, SABAH – EMPAT (4) sekeluarga rentung dalam kebakaran rumah teres dua tingkat di Taman Hungab, Jalan Nosoob awal pagi tadi.
Pihak Bomba yang bertindak balas kepada panggilan kecemasan pada 2.52 pagi itu melaporkan penemuan tiga (3) mayat lelaki dan satu (1) orang wanita.
Tiga mangsa lelaki ditemui di sebuah bilik di tingkat atas rumah manakala seorang wanita dijumpai di tandas tingkat bawah.
Mereka adalah pasangan suami isteri Matthew Wong, 50 dan Jecky Vun Kon Fung, 47 serta dua orang anak mereka Brendan Wong, 18, dan Eric Wong, 15 tahun.
Ketua Zon 1, Penguasa Kanan Bomba, Hamsa Isnurdini berkata dua kenderaan, iaitu sebuah Proton Saga dan Perodua Alza turut terbakar 10 peratus.
“Sebelas (11) anggota dari Balai Bomba Penyelamat Penampang bergegas ke lokasi kepada keadaan api masih marak…
“Situasi terkawal pada jam 3.40 pagi dengan dua pancutan air dari sumber tangki jentera bomba dan operasi ditamatkan pada 6.10 pagi,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Bahagian forensik Bomba sedang menyiasat punca kebakaran dan nilai anggaran kemusnahan manakala mangsa mayat diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.