KOTA KINABALU, SABAH – TIGA (3) premis di sini telah dikesan gagal menurunkan harga Kit Ujian Kendiri COVID-19 seperti yang telah ditetapkan pihak kerajaan.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah telah menjalankan 35 pemeriksaan dan tinjauan pematuhan pelaksanaan ke atas kawalan harga kit tersebut sejak Ahad.
Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata pemeriksaan terbabit meliputi 29 pemeriksaan ke atas peruncit dan 6 pemborong.
“Pemilik premis berkenaan telah dinasihatkan supaya menurunkan harga seperti ditetapkan iaitu RM19.90 seunit…
“Kerajaan melalui KPDNHEP akan memberi kelonggaran tujuh hari dari tarikh ianya berkuat kuasa iaitu 5 September 2021 untuk peniaga-peniaga melakukan penyelarasan harga siling Kit Ujian Kendiri COVID-19.
“Selepas itu tidak ada kelonggaran akan diberikan ke atas peniaga yang ingkar dengan kawalan harga maksimum yang telah ditetapkan…
“Tindakan tegas akan diambil jika didapati peniaga masih ingkar dan menjual kit ujian kendiri COVID-19 dengan harga yang melebihi daripada harga yang telah ditetapkan oleh Kerajaan.
“Oleh yang demikian, dalam tempoh seminggu ini, anggota penguat kuasa akan menggunakan pendekatan memberi peringatan kepada pemborong dan peruncit berhubung penetapan harga itu,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Peniaga-peniaga yang gagal menurunkan harga seperti ditetapkan kerajaan akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 11, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 iaitu jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000.00 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali atau dikompaun sehingga RM50,000.00.
Tindakan dan hukuman ke atas syarikat juga boleh dikenakan iaitu didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.
“Justeru itu, semua peniaga diminta agar mematuhi kawalan harga yang telah ditetapkan bagi memastikan peralatan itu dapat dibeli pada harga mampu milik oleh pengguna dalam usaha memantau risiko jangkitan dan penularan pandemik COVID-19…
“Kementerian ini amat mengalu-alukan kerjasama para pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku perniagaan atau aduan melalui sembilan (9)saluran aduan yang disediakan,” kata Georgie.