Persiapan Hari Malaysia 2024 Berjalan Lancar

Persiapan Hari Malaysia 2024 Berjalan Lancar

0
SHARE
Christina
Christina ketika ditemubual di SABAHfm berkenaan persiapan sambutan Hari Malaysia 2024 ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Persiapan Hari Malaysia 2024 Peringkat Kebangsaan berjalan lancar dengan hampir 80 peratus persiapan pelbagai aspek telah dilaksanakan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata baki persiapan sebanyak 20 peratus lagi akan lengkap sepenuhnya pada 16 September ini.

“Pelbagai acara dan program-program sudah diatur begitu banyak serta unik dan bakal dilaksanakan bagi menyemarakkan semangat dalam kalangan pengunjung.

“Kita berharap semua rakyat khususnya di Sabah hadir ke Padang Merdeka bagi menyaksikan pelbagai program yang sudah disediakan.

“Tahun ini Sabah merupakan tuan rumah bagi Sambutan Hari Malaysia jadi kita berpeluang meraikan bersama Perdana Menteri, Premier Sarawak dan kerajaan negeri serta semua pemimpin di seluruh Malaysia akan hadir di sini merayakan bersama-sama rakyat, oleh itu kita akan berusaha sebaik mungkin agar sambutan tersebut akan berjalan lancar.

“Saya berharap Sambutan Hari Malaysia dapat disambut dengan lebih bermakna dengan menyematkan jiwa merdeka dalam setiap individu dalam memastikan semangat kebebasan dan cinta tanah air terus hidup dan berkembang sekali gus menjadikan ia sebagai satu hari yang menyediakan Malaysia ke arah masa depan lebih sejahtera,” katanya kepada media selepas selesai sesi temubual dalam segmen Kita Cerita #Kitakongsi di konti SABAHfm pada Isnin.

Beliau yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia 2024 turut menyeru agar orang ramai hadir bersama-sama dalam memeriahkan sambutan yang sangat istimewa itu kerana ia dapat menyemarakkan lagi semangat patriotik dalam kalangan rakyat.

“Kita meraikan hari istimewa ini bersama-sama tidak kira dari mana sama ada dari Semenanjung, Sarawak atau Sabah agar kita ingat perpaduan adalah penting kerana sebagai rakyat Malaysia kita bersama sebagai satu rumah satu negara,” ujarnya.

Hadir sama, Pengarah Penyiaran Sabah, Salmah Hashim dan Timbalannya Cyril Simon, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat (BMKK), Jabatan Penerangan Sabah (JaPen), Dr. Diana Dominic serta Penolong Pengarah BMKK JaPen Sabah, Siti Mariam Aziz Rashid. — JABATAN PENERANGAN SABAH