KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual akan tiba di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada jam 2.30 petang ini bagi menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63).
Turut dijangka hadir dalam mesyuarat itu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta beberapa jemaah menteri yang lain.
Mesyuarat itu adalah antara program yang disusun dalam lawatan kerja Perdana Menteri ke Sabah yang bermula semalam.
Mesyuarat yang pengerusikan oleh Perdana Menteri itu sendiri dijangka akan membawa beberapa tuntutan yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Tuntutan tersebut termasuklah kuasa kawal selia bekalan gas di Sabah, isu royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum, mineral minyak dan medan minyak, Akta Laut Wilayah 2012 [Akta 750], hak negeri ke atas pelantar benua serta pertambahan perjawatan perkhidmatan awam Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan.
Mesyuarat itu dijangka selesai pada jam 4.30 sebelum Anwar berlepas pulang ke Kuala Lumpur.
Perdana Menteri sekali lagi dijadual datang ke Sabah pada Isnin depan bagi menghadiri sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan di Padang Merdeka Kota Kinabalu.