LAHAD DATU, SABAH – Sebagai sebuah negara merdeka dan bebas, Malaysia berhak menentukan apa yang terbaik untuk negara dan rakyatnya, termasuk dalam menjalin hubungan dengan negara-negara lain di seluruh dunia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Memetik sumber Bernama, beliau meminta tidak ada pihak cuba menekan negara dalam menjalin hubungan diplomatik dengan negara-negara lain, sambil menegaskan bahawa Malaysia mahu berbaik dengan semua negara.
Perdana Menteri, yang baru pulang dari lawatan kerja ke Russia baru-baru ini, juga berkata bahawa pertemuannya dengan Presiden Vladimir Putin bertujuan mengukuhkan hubungan baik antara Kuala Lumpur dan Moscow, selain mahukan Russia meningkatkan import minyak sawit dari Malaysia.
“Saya jumpa dengan Presiden Putin dan orang tanya macam mana, Malaysia ini tak semena-mena nak berbaik dengan Russia, apa kata Amerika, apa kata Eropah. Kita adalah negara bebas dan merdeka, kita putuskan apa terbaik untuk negara kita.
“Kita harus berbaik (dengan semua negara), tetapi jangan ada negara hendak tekan kita,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Segalanya Felda di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, dan Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Anwar berkata negara-negara seperti India, China, Mesir dan Belanda merupakan antara pengimport besar minyak sawit negara ini, justeru beliau berusaha memastikan negara terlibat meningkatkan import komoditi tersebut.
“Sekarang kita minta Russia, sebab itulah kita pergi dan berkawan dengan mereka, China setuju tambah import kelapa (minyak) sawit. Saya jumpa Perdana Menteri India (Narendra Modi) baru-baru ini…dia pun kata saudara Anwar kita akan meningkatkan import (minyak sawit) ke India,” katanya.
Perdana Menteri berkata beliau mengunjungi negara-negara tersebut untuk meningkatkan perdagangan dan mempromosikan sektor pelancongan di Malaysia, termasuk di Sabah, Sarawak, Langkawi, dan Pulau Pinang, yang mempunyai keindahan alam semula jadi yang diiktiraf antara terindah di dunia.
“Ini juga bertujuan menarik pelancong dari Russia, kerana setakat ini hanya sekitar 100,000 pelancong Russia datang ke Malaysia, berbanding antara 5 hingga 10 juta pelancong melawat Turkiye setiap tahun,” kata Anwar.