Hormati Keputusan Pimpinan Tertinggi GRS, Bincang Agihan Kerusi PRN: Ruslan

Hormati Keputusan Pimpinan Tertinggi GRS, Bincang Agihan Kerusi PRN: Ruslan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pemimpin dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diminta untuk menghormati keputusan pimpinan tertinggi gabungan itu khususnya dalam soal agihan kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Ruslan Muharam berkata, pemimpin peringkat bawahan perlu menerima sebarang keputusan yang telah dipersetujui dalam perbincangan mahupun mesyuarat yang diadakan.

“Kita serahkan kepada kebijaksanaa Ketua Menteri selaku Pengerusi GRS kerana diperingkat pimpinanlah yang patut berbincang dan memutuskan semua perkara termasuk pembahagian kerusi pada PRN akan datang.

“Harapan kita ialah, kita perlu menghormati pucuk pimpinan sebab dalam gabungan GRS itu kita telah pun mempunyai satu muafakat untuk bersama-sama berjuang membela nasib rakyat. 

“Jadi kalau di kalangan kita dalam pimpinan itu tidak dapat menerima keputusan pimpinan yang tinggi, macamana rakyat menilai kita sebagai pemimpin,” katanya mengulas kenyataan Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah mengenai agihan kerusi PRN akan datang yang perlu dibincang secara dalaman dan tidak dibuat secara terbuka.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan majlis perasmian penutupan Program Bicara Madani – Emansipasi OKU di sini, semalam.

Justeru Ruslan yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri berkata, semua pihak perlu sama-sama menghormati pemimpin agar rakyat dapat menilai dengan sebaik mungkin.