KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah telah menyumbang kepala singa kepada kuil dan persatuan Cina seluruh Sabah sepanjang empat tahun berturut-turut bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta bagi tujuan itu pada tahun ini.
Menurut kenyataan Jabatan Ketua Menteri (JKM), Hajiji diwakili oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun dalam majlis sesi penyerahan kepala singa kepada masing-masing kuil dan juga persatuan Cina kawasan zon tengah Pantai Barat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.
“Majlis itu juga menandakan permulaan sumbangan ini berjalan, di mana juga akan diadakan di sembilan zon menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.
“Sembilan zon tersebut termasuklah, Beaufort/Sipitang, Kudat/Kota Marudu, Keningau, Tenom, Tawau/Semporna, Sandakan, Lahad Datu, Ranau dan Kota Belud,” jelas kenyataan media itu hari ini.
Turut hadir dalam Majlis Penyerahan itu. Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib, Presiden Dewan Perniagaan Cina Bersatu Sabah, Tan Sri Andrew Liew, Pengerusi Pengajur, Datuk Dr Roland Chia, Konsul Jeneral Cina di Kota Kinabalu, Huang Shifang, Konsul Jeneral Jepun di Kota Kinabalu, Yamashita Yoshito, wakil rakyat dan ketua masyarakat Cina.