USIA Tandatangani MOU Rancakkan Sektor Pelancongan

USIA Tandatangani MOU Rancakkan Sektor Pelancongan

0
SHARE
Sapawi
Sapawi (belakang kanan) bersama Ruslan (belakang kiri) menyaksikan majlis ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) menandatangani perjanjian memorandum dalam usaha merancakkan lagi sektor pelancongan di Semporna.

Yang Dipertua USIA Datuk Sapawi Ahmad berkata memorandum persefahaman tersebut akan merancakkan lagi sektor pelancongan di Sabah selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang memfokuskan pembangunan sektor pelancongan.

“Hasil usahasama ini pastinya akan dapat membangunkan tapak tanah itu untuk pembangunan pelancongan.

“Usaha yang dilakukan oleh pemaju ini sekali gus memberi ruang kepada USIA untuk memastikan tanah ini terus terbangun dan akan membantu usaha kerajaan dalam program Sabah Maju Jaya untuk membangunkan pembangunan pelancongan dengan lebih rancak lagi.

“Ini kerana kita sedia maklum Kota Kinabalu dan Semporna merupakan tempat dengan kadar kehadiran pelancong tertinggi dalam sektor pelancongan di Sabah ini.

“Sudah semestinya pembangunan ini akan mengukuhkan lagi usaha pelancongan di negeri Sabah sekaligus satu kejayaan kepada pihak Usia.

“Kita berasa amat bersyukur kerana usaha ini akan memberikan satu sumbangan yang sangat bermanfaat untuk menjayakan visi dan misi Sabah Maju Jaya,” katanya ketika ditemui media selepas menyaksikan upacara menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Sinergi Dayang Sdn Bhd dan Prinsip Hasil Sdn Bhd di sini.

USIA diwakili oleh Setiausaha Agung Iman Ali manakala Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Azlan Yusoh mewakili Sinergi Dayang Sdn Bhd menandatangani memorandum persefahaman berkenaan.

Memorandum terbabit akan memfokuskan tapak komersial yang bernilai tinggi untuk dibangunkan di tengah Pekan Semporna yang terkenal sebagai salah satu pusat tumpuan pelancong ke Sabah.

Turut hadir pada majlis tersebut Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Hal Ehwal Agama Datuk Ruslan Muharam dan Pengarah Wilayah Tabung Haji Sabah dan Sarawak Datuk Nurlaila Said. — JABATAN PENERANGAN SABAH