TASEK GELUGOR – GiatMara menerima permohonan daripada 7,877 orang terutama dalam kalangan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengikuti pelbagai kursus bagi kemasukan Julai lepas.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Jabar Azman Jaafar berkata kemasukan pada Januari lepas merekodkan 2,915 orang dan permohonan bagi kemasukan Julai itu sekali gus menunjukkan institusi itu mendapat permintaan tinggi daripada golongan muda bagi mengikuti latihan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET).
“GiatMara merupakan institusi latihan kemahiran yang bersifat mesra komuniti dalam memenuhi tanggungjawab sosial bagi memberikan kemahiran menjamin kehidupan. Kami terus bersaing secara agresif dan proaktif dalam usaha melahirkan graduan kompetetif dalam dunia globalisasi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Graduasi GiatMara 2022 Pulau Pinang di sini semalam.
Seramai 668 graduan menerima sijil pelbagai kursus pada majlis berkenaan di Pusat Konvensyen Perda, Kubang Menerong.
Jabar Azman berkata lepasan GiatMara semakin mendapat permintaan baik dalam kalangan majikan dan setakat ini berupaya melahirkan 86 peratus siswazah di pasaran kerjaya.
Beliau berkata berdasarkan tinjauan pihaknya iaitu antara enam bulan hingga setahun selepas mengikuti latihan, lepasan GiatMara berjaya memperoleh pekerjaan dengan mendapat gaji yang tinggi kerana mempunyai kemahiran atau melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Menurutnya, bakinya mendapat pekerjaan selepas setahun menamatkan latihan malah ada dalam kalangan lepasan GiatMara menjadi usahawan dengan mengembangkan perniagaan dalam bidang dipelajari.
Katanya ketika ini terdapat 640 kursus ditawarkan di 231 GiatMara di seluruh negara dengan tempoh pengajian tiga bulan hingga dua tahun.
Jabar Azman berkata GiatMara Jelutong, dekat sini menawarkan kursus baharu yang pertama di Malaysia iaitu ‘Family Care Services’ selama enam bulan sebagai persiapan awal menghadapi cabaran negara tua 2030.
“Kursus itu sangat unik kerana menggabungkan modul asuhan awal kanak-kanak dan modul penjagaan warga emas. Program tersebut akan turut dijalankan di beberapa GiatMara lain mulai Oktober ini yang menyasarkan pembantu taska Kemas dan Perpaduan selain swasta,” katanya.
Sementara itu, pada majlis graduasi itu, seorang wanita Orang Kurang Upaya (OKU) dan anak perempuannya menerima sijil selepas tamat mengikuti kursus Fesyen dan Jahitan Pakaian di GiatMara Batu Kawan, dekat sini.
Hawati Hassan, 59, yang berkerusi roda berkata beliau tidak menyangka berpeluang belajar di situ bersama anaknya, Farah Yuhana Muhamad Yusoff, 34, dan teruja menyarung jubah konvokesyen.
“Pada masa itu, saya hanya nak daftarkan Farah (Farah Yuhana) tapi bila saya tanya sama ada saya boleh ambil kursus tersebut… pihak pengurusan maklumkan mereka menerima pelajar tidak kira usia. Saya pun terus daftar, jadi sepanjang enam bulan saya pergi belajar dengan anak…
“Saya merupakan pelajar paling tua dalam kelas namun sangat seronok belajar malah tenaga pengajar juga mengajar saya seperti yang lain. Alhamdulillah, sekarang ini saya dan Farah sedang berusaha untuk membuka kedai menjahit pakaian, ketika ini kami hanya mengambil tempahan di rumah,” katanya.
– BERNAMA