KENINGAU, SABAH – Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin berkata, belia di negeri ini merangkumi 2,112,400 juta orang atau sebanyak 61.8 peratus daripada jumlah keseluruhan populasi Sabah iaitu 3,418,785 orang.
Menyedari hakikat ini, Kementeriannya melalui agensi-agensi pelaksana program pembangunan belia seperti Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Sabah, Majlis Belia Sabah serta agensi yang terlibat secara tidak langsung berusaha dengan segala kudrat untuk mewujudkan kehidupan berkualiti terutama untuk para belia.
Katanya, Kementerian akan terus memfokuskan kepada pembangunan dan kesejahteraan belia di negeri ini.
“Ia adalah sebuah usaha keras yang berterusan yang akan memberi impak besar kepada perubahan demografi sosioekonomi Sabah pada masa mendatang.
“Saya menyeru kepada semua pihak berkuasa yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung agar bersama-sama mengambil dan memikul tanggungjawab terhadap amanah masyarakat untuk membentuk generasi pelapis negara dan negeri yang berkualiti pada masa akan datang. kalau bukan kita, siapa lagi,” katanya.
Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) telah melancarkan Portal Dana Skim Usahawan Jaya Belia (SYABAS) pada 27 September 2022 yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
Menurut Ellron, dana yang diumumkan semasa pembentangan Bajet 2021 di Dewan Undangan Negeri Sabah adalah inisiatif membantu belia yang ingin memulakan perniagaan dan membantu usahawan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
“Saya menyeru agar para belia Sabah menggunakan peluang ini untuk mengubah masa depan yang lebih cerah,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, perubahan masa yang membentuk keluk kehidupan masyarakat perlu diimbangi agar kemajuan yang dikecapi tidak meninggalkan kesan negatif kepada ketamadunan.
Justeru, tambahnya, Kementerian tidak akan sesekali mengabaikan pengaruh perubahan masa yang membentuk peribadi cemerlang belia.
“Saya percaya dan penuh yakin bahawa isu yang dibangkitkan dalam persidangan ini adalah isu-isu kesejahteraan belia pada masa kini. Isu-isu yang dibangkitkan adalah isu dasar kepada situasi semasa keadaan di Sabah. Saya akan mengambil serius terhadap setiap isu yang diutarakan dalam persidangan ini.
“KBSS akan menjadikan isu-isu yang dibangkitkan sebagai focal point terhadap perancangan dan pelaksanaan program pembangunan belia pada tahun hadapan,” katanya, sambil mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran persidangan kali ini.
Penganjuran yang dilaksanakan luar daripada ruang lingkup kebiasaan adalah berpadanan kepada isu pembangunan belia luar bandar, ujarnya, sambil menambah, langkah Kerajaan melihat belia luar bandar dalam mengurangkan jurang sosioekonomi adalah selaras dengan pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
“Saya sangat menghargai dengan usaha ini,” katanya.