KOTA KINABALU: Invest Sabah Berhad (ISB) melantik Kevin Ukang sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu agensi itu, menggantikan Dr. Firdausi Suffian, susulan pelaksanaan semakan tadbir urus dalaman.
Pelantikan itu dibuat ketika agensi promosi pelaburan negeri berkenaan memasuki fasa baharu kepimpinan dan tumpuan strategik.
Pengerusi ISB, Datuk Roger Chin berkata, Kevin membawa pengalaman luas dalam bidang promosi pelaburan dan pembangunan ekonomi bagi memperkukuh ekosistem pelaburan Sabah.
“Kevin Ukang membawa pengalaman yang bernilai dalam promosi pelaburan dan pembangunan ekonomi. Pelantikan beliau mencerminkan komitmen kami untuk terus memperkukuh ekosistem pelaburan Sabah serta meningkatkan keberkesanan Invest Sabah sebagai agensi utama promosi pelaburan negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, Ukang akan mengetuai usaha memperkukuh peranan Invest Sabah sebagai Pusat Pemudahcara Pelaburan Sehenti (One-Stop Investment Facilitation Centre) bagi membantu pelabur dari peringkat mengenal pasti peluang sehingga pelaksanaan projek.
Pelantikan tersebut dibuat selepas Invest Sabah menyiapkan semakan tadbir urus dalaman yang dijalankan oleh Jabatan Audit Dalaman Negeri Sabah.
Laporan semakan itu telah dikemukakan kepada Ketua Menteri, Kementerian Kewangan serta Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan.
Menurut ISB, semakan tersebut memberikan beberapa cadangan penambahbaikan bagi memperkukuh proses dokumentasi, prosedur pentadbiran serta amalan tadbir urus dalaman organisasi.
Roger berkata Lembaga Pengarah telah menerima cadangan tersebut dan mula melaksanakan langkah-langkah bagi memperkukuh ketelusan, akauntabiliti serta keberkesanan operasi agensi berkenaan.
“Lembaga melihat semakan ini sebagai satu proses yang konstruktif dalam menyokong komitmen Invest Sabah terhadap penambahbaikan berterusan dan amalan tadbir urus yang baik,” katanya.






