KOTA KINABALU: Bekalan beras di Sabah masih mencukupi dan mampu bertahan sehingga sembilan bulan walaupun terdapat laporan kekurangan bekalan di beberapa daerah sejak kebelakangan ini.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Jamawi Jaafar berkata, setakat ini stok simpanan beras (stokpail) di Sabah berada pada tahap selamat dan mampu menampung keperluan rakyat.
Menurutnya, jumlah bekalan menjadi lebih stabil apabila digabungkan dengan stok perdagangan, stok yang dipegang pemborong serta bekalan beras tempatan.
“Jika digabungkan dengan stok perdagangan, stok pemborong dan bekalan beras tempatan, jumlah keseluruhan bekalan beras di Sabah boleh bertahan sehingga sembilan bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan kekurangan bekalan beras yang didakwa berlaku di beberapa daerah di negeri ini.
Jamawi berkata kementeriannya turut berhubung dengan Bernas Negeri Sabah yang bertanggungjawab mengurus serta mengedarkan bekalan beras bagi mendapatkan penjelasan mengenai situasi tersebut.
Menurutnya, Bernas memaklumkan bahawa bekalan beras sebenarnya mencukupi dan kekurangan yang berlaku di beberapa daerah hanya bersifat sementara.
“Bekalan beras untuk daerah-daerah tertentu yang mengalami kekurangan kini sedang dalam proses penghantaran oleh pembekal yang telah dilantik oleh Bernas,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya tidak panik kerana kerajaan sentiasa memantau keadaan bekalan makanan asas di negeri ini.
Dalam masa sama, Jamawi berkata kementeriannya telah mengambil langkah proaktif bagi meningkatkan pengeluaran padi dan beras di Sabah.
Satu sesi libat urus telah diadakan di kawasan jelapang padi Terusan Sapi pada Februari lalu bagi meneliti usaha meningkatkan pengeluaran padi di kawasan tersebut.
Libat urus turut diadakan dengan pihak berkaitan di kawasan jelapang padi Kota Belud bagi membincangkan isu-isu yang menjejaskan pengeluaran padi di kawasan itu.
“Hasil perbincangan tersebut, kita telah mengenal pasti beberapa perkara yang boleh dipertingkatkan bagi meningkatkan hasil padi dan beras di Sabah,” katanya.
Menurut Jamawi, kerajaan juga telah menerima jaminan peruntukan daripada Kementerian Ekonomi bagi membuka tambahan kawasan sawah padi terbiar seluas 2,000 hektar.
Katanya, kawasan baharu itu melibatkan lokasi di Kota Belud, Terusan Sapi, Telupid, Tambunan, Keningau dan Tenom.
Langkah itu jelasnya bertujuan meningkatkan tahap sara diri (SSL) pengeluaran beras Sabah pada masa akan datang.
Bagaimanapun, beliau mengakui Sabah masih perlu bergantung kepada import beras bagi memenuhi permintaan semasa.
“Kebergantungan kepada import tidak dapat dielakkan kerana keadaan ini telah berlarutan sekian lama, namun kerajaan akan terus memastikan bekalan beras di Sabah kekal stabil dan mencukupi untuk keperluan rakyat,” katanya.






