SEMPORNA: Orang ramai diminta membantu mengesan seorang wanita berusia 57 tahun yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu di Kampung Salimbangun, di sini.
Polis Daerah Semporna dalam satu kenyataan Hebahan Orang Hilang di Facebook memaklumkan, wanita berkenaan dikenali sebagai Esnirah Lakim, berbangsa Bajau, yang dilaporkan keluar dari rumahnya kira-kira jam 10 pagi pada 3 April untuk ke Kampung Kubang Baru.
“Namun sehingga kini, mangsa masih belum pulang ke rumah dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan. Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu pihak polis,” jelas kenyataan itu di sini, hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, mangsa mempunyai ketinggian kira-kira 143 sentimeter, berbadan kurus dan kali terakhir dilihat memakai baju berwarna kelabu, seluar panjang merah hitam serta tudung hitam.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan mangsa diminta menghubungi Ketua Polis Balai Semporna atau Inspektor Tunkiman di talian 089-782020, atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
Polis menegaskan bahawa kerjasama orang awam amat diperlukan bagi membantu mempercepatkan usaha pencarian mangsa.






