Ewon Pengerusikan Mesyuarat Khas Selesai Pemilikan Tanah, Warta Kampung Di Tiga Kampung...

Ewon Pengerusikan Mesyuarat Khas Selesai Pemilikan Tanah, Warta Kampung Di Tiga Kampung Di Penampang

0
SHARE
Ewon
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick ketika mempengerusikan mesyuarat khas di Pejabat Daerah Penampang ( Sumber Foto: Ihsan KUSKOP )

PENAMPANG, SABAH – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mempengerusikan mesyuarat khas untuk menyelesaikan pemilikan tanah dan warta kampung di tiga kampung di sini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, kawasan itu melibatkan Kampung Sugud, Kampung Togudon dan Kampung Babagon

“Penduduk Kampung Sugud dan Kampung Babagon memohon supaya tanah rizab padang ragut di kampung itu ditukar kepada rizab tanah kampung.

“Manakala penduduk KampungTogudon pula memohon supaya isu pemilikan geran tanah dapat diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat khas terbabit di Pejabat Daerah Penampang, di sini, kelmarin.

Turut hadir, Pegawai Daerah Penampang Francis Chong, pegawai dari Jabatan Tanah dan Ukur, Pejabat Hasil Bumi, Jabatan Perlindungan Alam Sekitar, Jabatan Air, Jabatan Pertanian dan ketua-ketua kampung berkenaan.

Ewon berkata, beliau telah menulis surat kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor pada Disember lalu memohon kelulusan penyukatan tanah melalui Program PANTAS di Kampung Togudon dan maklum balas yang diterima adalah positif.

“Nota Ketua Menteri kepada Pengarah Jabatan Tanah Dan Ukur Sabah menyatakan tiada halangan untuk penyukatan tanah melalui Program PANTAS,” katanya.

Mengenai isu tanah di Kampung Sugud pula, beliau berkata, isu itu telah dibangkitkan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada November 2022.

Pada persidangan DUN lalu, saya telah mencadangkan supaya rizab padang ragut di Kampung Sugud ditukar kepada rizab tanah kampung, kerana ini adalah permintaan penduduk kampung yang mempunyai rizab padang ragut tetapi kini tidak lagi digunakan.

“Berdasarkan jawapan lisan yang saya terima, penukaran rizab padang ragut kepada rizab tanah kampung boleh dipohon dengan menulis surat kepada Setiausaha Kerajaan Negeri,” katanya.

Ewon berkata, penduduk Kampung Babagon juga meminta supaya rizab padang ragut di kampung itu ditukar kepada tanah kampung kerana tiada lagi penduduk yang mengusahakan ternakan.