Pasukan Asli 4×4 Juarai Borneo Safari Tiga Tahun Berturut-turut

Pasukan Asli 4×4 Juarai Borneo Safari Tiga Tahun Berturut-turut

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Edisi ke-33 Borneo Safari International Offroad Challenge 2025, acara 4×4 ekstrem terbesar di Malaysia, melabuhkan tirainya malam ini selepas lapan hari meredah laluan mencabar di Hutan Ulu Tongod.

Acara yang bermula pada 26 Oktober dari bangunan Lembaga Pelancongan Sabah itu mencatat penyertaan rekod dengan 641 kenderaan pacuan empat roda serta lebih 1,800 peserta dalam Kategori Pertandingan dan Tag On.

Sepanjang cabaran, peserta berdepan trek berlumpur, cerun curam, v-gully, tanah runtuh, sungai serta pelbagai halangan sukar di kawasan hutan Borneo yang mencabar ketahanan dan semangat berpasukan.

Dalam Kategori Pertandingan yang disertai 28 pasukan, Roland Liew Sue Khiong dan pembantu pemandu Sajeymee Janish dari Asli 4×4 muncul juara buat kali ketiga berturut-turut, rekod pertama dalam sejarah penganjuran.

Mereka mengumpul 1,550 mata daripada 20 Special Stage, 47 mata mengatasi pesaing terdekat, sekali gus membawa pulang Trofi Kejuaraan serta hadiah wang tunai dan barangan bernilai RM112,783.

Naib juara disandang pasangan dari Keningau, Koo Foo Loong dan Velerick Martin yang menerima hadiah lebih RM69,000, manakala tempat ketiga menjadi milik Agustinus Asananen Bin Are dan Chia Ket Chong dari Tenom dengan hadiah lebih RM52,000.

Penganjur, Sabah Four Wheel Drive Association (SFWDA), berkata acara tahun ini terus menarik penyertaan antarabangsa termasuk dari Brunei, Indonesia, Jepun, Thailand, China, Filipina, Hong Kong, India, Mongolia, Amerika Syarikat, New Zealand, Switzerland dan Jerman.

Presiden SFWDA merangkap Pengarah Acara, Faez Nordin, mengucapkan tahniah kepada semua peserta serta berterima kasih kepada penaja utama Isuzu Malaysia, UMW Grantt International, rakan bahan api PETRONAS Dynamic Diesel Euro5 With Pro-Drive dan penaja lain.

Majlis penutupan turut dihadiri wakil penaja serta agensi kerajaan yang menyokong penganjuran acara berprestij ini.