Keputusan 40 Peratus Hasil Ujian Komitmen Persekutuan

Keputusan 40 Peratus Hasil Ujian Komitmen Persekutuan

0
SHARE
Joniston menyerahkan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di Kampung Talantang...

KIULU, SABAH – Kerajaan Persekutuan perlu memahami sepenuhnya harapan rakyat Sabah berhubung tuntutan 40 peratus hasil negeri, kata Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Joniston Bangkuai.

Dengan keputusan Mahkamah Tinggi masih berisiko untuk dirayu, beliau berharap hubungan baik antara kerajaan negeri dan Putrajaya dapat membawa hasil yang adil untuk Sabah.

“Ini bukan isu politik semata-mata, tetapi soal menghormati hak Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan,” katanya pada program bertemu rakyat di Kampung Talantang.

Beliau yakin sebarang keputusan untuk merayu akan mengecewakan rakyat dan berharap kerajaan tidak mengabaikan suara Sabah.

“Mahkamah Tinggi sebelum ini memutuskan kerajaan Persekutuan perlu mengkaji semula tuntutan 40 peratus hasil Sabah dalam tempoh 90 hari dan mencapai persetujuan baharu dalam 180 hari.

“Hak itu dijamin di bawah Perlembagaan tetapi tidak dipenuhi sejak 1974,” jelasnya.

Joniston yang juga Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata pelaksanaan keputusan itu penting bagi merapatkan jurang pembangunan Sabah, terutamanya di luar bandar.

“Rakyat sudah menunggu terlalu lama dan mahukan tindakan tegas,” katanya.

Terdahulu, Joniston menyerahkan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di Kampung Talantang.

Lebih 100 rumah SMJ telah diterima di Kiulu setakat ini, dengan tambahan 50 unit setiap kawasan diumumkan tahun depan.