Empat Pemain Sabah Wakili Malaysia ke Kelayakan Piala Dunia Bola Sepak Orang...

Empat Pemain Sabah Wakili Malaysia ke Kelayakan Piala Dunia Bola Sepak Orang Kudung

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Empat pemain dari Pasukan Bola Sepak Orang Kudung Sabah terpilih mewakili Malaysia ke Kelayakan Piala Dunia Zon Asia Timur di Jakarta dari 8 hingga 15 November 2025.

Pemain yang terpilih ialah Fatnee Sardun, Muhd Shahniezam Hamsa, Louis Simun dan Ridwan Yah. Mereka menjalani latihan pusat di EV Arena, Shah Alam dari 31 Oktober hingga 6 November sebelum berlepas ke Indonesia.

Perlawanan akan berlangsung di Stadium Madya, Gelora Bung Karno dan padang sekitarnya, dengan sembilan negara bersaing iaitu Jepun, Uzbekistan, Iran, Iraq, Malaysia, Indonesia, Syria, Yaman dan Bangladesh. Undian kumpulan akan menentukan dua pasukan teratas setiap kumpulan yang layak ke Piala Dunia 2026.

Presiden Persatuan Bola Sepak Orang Kudung Sabah (PEBOKS), Mohd Asyraaf Abdullah berkata, peluang ini memberi pendedahan berharga kepada pemain Sabah dalam kejohanan berprestij Asia.

Katanya, cabaran bertemu pasukan terbaik Asia seperti Jepun, Uzbekistan dan Iran akan meningkatkan daya saing pemain negara.

Pengurus pasukan, Muhammad Faizul Taha pula berharap pemain mengekalkan disiplin serta semangat kesukanan tinggi sepanjang kejohanan demi menyahut cabaran kelayakan.

Sementara itu, PEBOKS turut menghantar seorang jurulatih sebagai pemerhati iaitu Usaman Baalon untuk menimba pengalaman antarabangsa, bagi memantapkan lagi pembangunan bola sepak orang kudung di Sabah.