KOTA KINABALU, SABAH – Prihatin kepada mereka yang memerlukan, Yayasan Bank Rakyat (YBR) telah menyediakan peruntukan Bantuan Awal Pengajian kepada pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) seramai 80 orang pelajar sebagai persediaan untuk memulakan pengajian, hari ini.
Melihat kepada usaha itu, Datuk Dr Abdul Rahman Bakri, Ahli Lembaga Pemegang Amanah, mewakili Pengerusi YBR, hadir menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Awal Pengajian Yayasan Bank Rakyat kepada pelajar UMS ini.
Dalam ucapannya, beliau berharap agar lebih ramai agensi atau badan bukan kerajaan seperti ini akan tampil dan mengikut jejak langkah dengan membantu memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan khususnya masyarakat luar bandar.
Replika cek bantuan awal pengajian ini telah diserahkan kepada Naib Canselor UMS Prof. Datuk CHM Dr. Taufiq Yap Yun Hin sambil disaksikan oleh Ahli Lembaga Pengarah UMS Datin Hajah Nurlaila Said.
Turut hadir dalam sesi penyampaian adalah Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Jefferey Nor Mohamed, Syaiful Rizal Abdul Ghani Ketua Bahagian Operasi Menanggung Tugas Pengurus Besar YBR, serta Mohamad Ghazali Zainal Abidin Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR.
YBR telah memperuntukan RM80 ribu kepada pelajar UMS dari kalangan keluarga yang berpendapatan rendah yang telah menerima tawaran kemasukan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda untuk memulakan pengajian di semester yang baru.
Setiap dari mereka akan menerima bantuan sebanyak RM1,000 setiap seorang bagi membuat persediaan kemasukan sesi pengajian yang baru sahaja bermula…
Sementara itu, Abdul Rahman juga berkata, selain misi membantu pelajar dari keluarga yang kurang bermampuan terutama masyarakat luar bandar, pedalaman dan miskin bandar dalam memberi peluang kepada mereka untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Beliau berharap melalui inisiatif seperti ini dapat meringan beban ibu bapa yang terkesan akibat pandemik COVID-19 yang telah melanda di seluruh negara.
Tambah beliau lagi, program bantuan seperti ini sedikit sebanyak mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung oleh ibu bapa dan pelajar IPT sebelum mendapat mana-mana bantuan atau dana dalam meneruskan pengajian sedia ada.
“Pihak YBR juga amat mengalu-alukan bantuan seperti ini kerana sekurang-kurangnya para pelajar kurang berkemampuan mendapat perhatian pihak luar dan memberikan rasa keterujaan untuk membuat persiapan memasuki pengajian sama seperti mereka yang bernasib baik,” katanya.
Bantuan Awal Pengajian yang berobjektifkan untuk membantu pelajar dari keluarga yang kurang bermampuan terutama di kalangan B40 dalam memberi peluang kepada mereka untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi di negara ini.
Bantuan permulaan ini diharapkan dapat melahirkan pelajar yang komited, berkualiti, mampan, bercirikan keusahawanan, serta mampu berdaya saing di semua peringkat yang menjadi asas kepada kemakmuran dan kesejahteraan negara untuk jangka masa yang panjang serta berharap agar pelajar memanfaatkan setiap peluang yang disediakan.
Untuk makluman sehingga kini, seramai 3,277 pelajar telah menerima manfaat melalui bantuan awal pengajian YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM 2.2 juta sejak dari tahun 2017 dan bagi tahun 2022, sejumlah RM 1.0 juta diperuntukan bagi bantuan ini.





