KOTA KINABALU, SABAH – Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah merekodkan peningkatan dalam kes kemalangan jalan raya melalui Op Selamat 18 (OS 18) yang dijalankan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, operasi penguatkuasaan trafik dan pencegahan jenayah itu telah berlangsung selama 10 hari bermula pada 29 April lalu.
Katanya statistik perbandingan OS 18 dan Op Selamat 15 (OS 15) pada tahun 2019 menunjukkan peningkatan 37 kes dalam kemalangan jalan raya dan membawa kepada 509 kes direkodkan.
“Kemalangan maut pula menunjukkan penurunan lapan (8) kes, iaitu enam (6) kes tahun ini berbanding 14 kes pada OS 15.
“Sebanyak 16,376 keping saman telah dikeluarkan berbading 16,969 keping pada OS 15 yang mana menunjukkan sedikit penurunan sebanyak 593 saman.
“Manakala keseluruhan 33 kes tangkapan dibuat sepanjang operasi melibatkan Akta Pengangkutan Jalan, 30 kes, Akta Kanun Keseksaan, dua (2) kes, dan satu (1) kes melibatkan Akta Pendaftaran Negara,” katanya.
Beliau berkata kekerapan operasi dijalankan OS 18 meningkat 21 kali iaitu 242 berbanding 221 semasa OS 15.
Sementara itu, Idris berkata kutipan kompaun berjumlah RM 65,300 telah dijelaskan.
“Tujuan utama OS 18 adalah untuk membudayakan pematuhan undang-undang dan peraturan jalanraya serta menangani kesesakan lalu lintas.
“Selain itu, pemantauan ke atas rumah kediaman dilakukan terutamanya yang tidak berpenghuni kerana bercuti atau pulang ke kampung halaman adalah di bawah tanggungjawab ketua polis daerah.
“Walaupun telah berakhir pada 8 Mei, pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sabah khasnya akan terus mengambil pendekatan yang maksimum berkaitan keselamatan lalu lintas yang mana penguatkuasaan dan pemantauan akan diteruskan bagi memastikan kadar kemalangan di sabah menurun,” kata Idris.





