KOTA KINABALU: Sabah International Convention Centre (SICC) terus mengukuhkan peranannya sebagai hab acara dan komuniti apabila berjaya menarik lebih 30,000 pengunjung sepanjang Ramadan menerusi program “Resepi Nusantara – Asian Buffet 2026”.
Ketua Pegawai Eksekutif SICC, Datuk Rosmawati Lasuki berkata, seramai 30,172 pengunjung direkodkan hadir sepanjang program yang berlangsung dari 26 Februari hingga 18 Mac lalu.
Menurutnya, kejayaan itu bukan sekadar angka, sebaliknya mencerminkan peranan SICC sebagai platform yang menyatukan masyarakat melalui pengalaman budaya dan kulinari.
“Pencapaian ini bukan sekadar jumlah kehadiran, tetapi menggambarkan bagaimana keluarga, rakan dan komuniti berkumpul serta berkongsi semangat kebersamaan sepanjang Ramadan,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Raya Aidilfitri SICC 2026 di Sipadan Hall, di sini, hari ini.
Beliau berkata, sambutan menggalakkan termasuk kehadiran berulang pengunjung menunjukkan keyakinan dan sokongan berterusan terhadap SICC sebagai lebih daripada sekadar lokasi acara.
Mengulas perancangan akan datang, katanya SICC bakal menganjurkan BigSabah Sale 2026 dari 30 Oktober hingga 1 November depan yang dijangka menampilkan lebih 650 reruai melibatkan pelbagai sektor termasuk makanan, fesyen, gaya hidup dan produk warisan tempatan.
Katanya, acara itu kini berkembang menjadi platform strategik yang menghubungkan perniagaan serta membuka peluang perdagangan rentas sempadan, termasuk dalam koridor pertumbuhan BIMP-EAGA yang merangkumi kira-kira 80 juta penduduk.
Dalam pada itu, Rosmawati turut mengumumkan pelantikan Veronica Ngagasegaran sebagai Pengarah Jualan dan Pemasaran baharu SICC bagi memperkukuh strategi pasaran serta jaringan industri di peringkat serantau dan antarabangsa.
Sepanjang tahun lalu, SICC mencatatkan sebanyak 2,737 acara termasuk 989 acara antarabangsa, sekali gus mencerminkan peningkatan daya saing Sabah sebagai destinasi acara perniagaan di peringkat global.






