Kupon Parkir Bergores Tidak Sah Bermula 16 November Depan

Kupon Parkir Bergores Tidak Sah Bermula 16 November Depan

0
SHARE
Sabin
Sabin (tengah) bersama kakitangan DBKK Holding pada sidang media tersebut ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kupon parkir bergores DBKK tidak lagi sah untuk digunakan bermula 16 November depan.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah JP berkata, hal itu berikutan pengurusan parkir yang beralih daripada sistem kupon kepada aplikasi digital, Sabah Smart Parking (SSP).

“Untuk makluman, bermula 16 November depan, penggunaan kupon untuk parking kereta tidak boleh digunakan lagi.

“Hal ini kerana pihak kita DBKK akan beralih kepada sistem baru iaitu sistem digital menggunakan aplikasi SSP yang telah pun dilancarkan sejak 16 Oktober baru-baru ini.

“Walaupun begitu, kupon-kupon yang masih ada boleh ditebus nilainya untuk dimasukkan dalam aplikasi digital SSP bermula sekarang hinggalah 15 November depan.

“Jadi, kepada mereka yang masih memegang kupon parking gores, boleh lah datang ke kaunter-kaunter DBKK atau di pejabat untuk tebus nilai tersebut,” ujarnya kepada media dalam Sidang Media SSP di Horizon Hotel pada Khamis.

Sabin turut memaklumkan terdapat juga isu yang timbul hasil pelaksanaan SSP.

“Setakat ini, terdapat seramai 60,000 pengguna telah memuat turun aplikasi ini dan setakat ini respon dari pengguna cukup memuaskan walaupun terdapat beberapa isu yang telah ditimbulkan.

“Antaranya adalah, semasa pendaftaran yang mewajibkan pengguna mengisi tarikh lahir, empat digit akhir kad pengenalan yang dikhuatiri akan disalahgunakan.

“Namun, kita sedia maklum, mana-mana sistem yang dibangunkan oleh mana-mana jabatan kerajaan mahupun swasta tertakluk dengan undang-undang yang ditetapkan, mereka tidak boleh kongsi atau jual maklumat tersebut kepada mana-mana pihak dan yang pasti SSP ini ada kelulusan dari Bank Negara,” katanya. — JABATAN PENERANGAN SABAH