Tun M Puji Tun Abdullah Badawi Atas Peralihan Kuasa Secara Aman

Tun M Puji Tun Abdullah Badawi Atas Peralihan Kuasa Secara Aman

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad memuji mendiang Tun Abdullah Ahmad Badawi kerana memastikan peralihan kuasa yang aman selepas meletak jawatan sebagai Perdana Menteri kelima.

Mahathir berkata Abdullah menyerahkan jawatan kepada Datuk Seri Najib Razak pada 2009 tanpa menimbulkan sebarang masalah, walaupun Barisan Nasional (BN) mencatat prestasi terburuk sejak 1969 pada PRU 2008.

“Ketika ramai mendesaknya berundur, beliau tidak membantah. Beliau letak jawatan dan serahkan kepada pengganti.

“Inilah contoh kepimpinan matang yang perlu diteruskan untuk menjamin keamanan negara,” katanya memetik FMT selepas memberi penghormatan terakhir di Masjid Negara.

Mahathir turut menyifatkan kemenangan besar BN pada PRU 2004 sebagai pencapaian terbesar Abdullah, apabila BN memenangi 198 daripada 219 kerusi Parlimen iaitu keputusan pilihan raya terbaik dalam sejarah negara.

Namun, katanya, Abdullah berdepan pelbagai cabaran di penghujung pentadbirannya yang membawa kepada kemerosotan sokongan dalam PRU 2008.

Tun Abdullah meninggal dunia di Institut Jantung Negara semalam pada usia 85 tahun.