PKR Sabah Hantar Jentera Bantu PRN Di Enam Negeri

PKR Sabah Hantar Jentera Bantu PRN Di Enam Negeri

0
SHARE
Sangkar
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah Datuk Dr Sangkar Rasam ( Sumber Foto: Gambar Google )

KOTA KINABALU, SABAH – PKR Sabah telah mengerahkan jentera bagi membantu kempen calon Pakatan Harapan (PH) dan BN yang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah, Datuk Dr Sangkar Rasam berkata jentera yang dihantar adalah melalui ketua-ketua cabang merangkumi 26 cabang seluruh Sabah termasuk Labuan.

“Hari ini saya serta beberapa jentera berada di Kelantan untuk penamaan calon dan selepas ini jentera akan dipecahkan mengikut tugas masing-masing yang akan dipantau ketua-ketua cabang.

“Pengerusi Harapan Sabah Datuk Christina Liew, Naib Presiden PKR Awang Husaini Sahari dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam yang merupakan Ketua Cabang Sepanggar, Peto Galim hari ini berada di Selangor.

“Timbalan Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapha Sakmud yang merupakan ketua cabang Kota Belud berada di Kedah bersama jentera pilihanraya manakala beberapa ketua-ketua cabang lain berada di Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Terengganu.

“Jentera Angkatan Muda Keadilan dan Wanita Keadilan pula akan dipecahkan ke semua negeri terlibat” katanya.

Selain itu, ketua cabang Tuaran merangkap Timbalan Ketua Penerangan Keadilan Pusat, Razeef Rakimin diberi tanggungjawab untuk memantau dan membantu kempen di semua negeri terlibat.

Dalam pada itu, Sangkar turut berkata pihaknya menghantar jentera terbaik bagi membantu sepanjang kempen sehingga hari pembuangan undi yang dijadualkan pada 12 Ogos.

Menurutnya, beliau yakin Kerajaan Perpaduan akan mengekalkan pentadbiran negeri Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Sangkar berkata PRN kali ini juga merupakan peluang cerah untuk mengambil alih pentadbiran Kedah atas kegagalan kerajaan negeri dalam mentadbir serta menjaga kebajikan rakyat.

“Untuk Kelantan dan Terengganu saya melihat peluang 50-50 dan ini sangat baik kerana gelombang perubahan semakin kuat di dua negeri yang sebelum ini ditadbir oleh PAS sejak sekian lama.

“Dengan isu air yang berlarutan sejak sekian lama, kemiskinan serta kedaifan infrastruktur mendorong kepada perubahan angin rakyat yang dilihat lebih kepada Kerajaan Perpaduan.

“Begitu juga dengan kegagalan menyediakan peluang pekerjaan sehingga anak muda terpaksa meninggalkan negeri untuk mencari rezeki di negeri yang ditadbir kerajaan Perpaduan.

“Keyakinan rakyat terhadap pentadbiran PAS yang telah mentadbir lebih dua dekad semakin pudar,” katanya.

Disamping itu, pihaknya juga turut menyifatkan keyakinan rakyat Kelantan dan Terengganu beralih selepas melihat prestasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mentadbir negara dengan menitik beratkan kebajikan rakyat.

“Tindakan Perdana Menteri yang mengimarahkan Seri Perdana dengan program keagamaan serta kedatangan tokoh dan ilmuwan agama dari seluruh dunia membuktikan kedudukan Islam sebagai agama rasmi lebih terjamin di bawah pentadbiran kerajaan Perpaduan.

“Berbeza dengan apa yang dicanang pemimpin PAS sebelum ini,” katanya.