KOTA KINABALU: Sambutan Ulang Tahun Ke-26 Bandaraya Kota Kinabalu bukan sekadar memperingati tempoh pengisytiharan bandar raya, sebaliknya menjadi wadah muhasabah bersama untuk menilai pencapaian, cabaran serta hala tuju pembangunan bandar demi kesejahteraan rakyat.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, kemajuan bandar tidak seharusnya diukur hanya melalui pembangunan fizikal atau projek berskala besar, tetapi melalui kualiti kehidupan harian rakyat, kebersihan persekitaran, rasa selamat, kemudahan awam yang berfungsi baik serta penyampaian perkhidmatan yang adil dan cekap.
“Sebagai Mayor, Hari Bandaraya adalah hari muhasabah amanah kepada saya dan seluruh warga kerja DBKK. Bandar ini bukan milik DBKK semata-mata, tetapi rumah kita bersama yang perlu dijaga dengan disiplin, tanggungjawab dan semangat kebersamaan,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Sambutan Ulang Tahun Ke-26 Bandaraya Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
Beliau berkata, bersempena sambutan itu, pelbagai program dirangka secara inklusif dan merakyat, termasuk upacara menaikkan bendera Bandaraya Kota Kinabalu, program kebudayaan dan kreatif, aktiviti sukan dan rekreasi komuniti, gotong-royong kebersihan bandar serta inisiatif kesedaran kelestarian alam sekitar.
Menurutnya, sebagai ibu negeri Sabah, Kota Kinabalu memainkan peranan strategik sebagai pusat pentadbiran, ekonomi, pelancongan dan pintu masuk utama ke negeri ini, sekali gus menjadikan keupayaan tadbir urus bandar sebagai cerminan imej Sabah di peringkat nasional dan antarabangsa.
Namun begitu, Sabin mengakui DBKK berdepan cabaran besar termasuk kekangan sumber kewangan, pertambahan penduduk, peningkatan jumlah pelancong serta tekanan terhadap kebersihan, infrastruktur, penguatkuasaan dan kemudahan awam.
“Cabaran ini bukan alasan untuk kita berdiam diri. DBKK sedang dan akan terus memodenkan sistem kerja serta penyampaian perkhidmatan,” katanya.
Antara langkah penambahbaikan yang dilaksanakan ialah peluasan sistem Sabah Smart Parking, perkhidmatan bayaran dan tempahan secara dalam talian serta pelbagai inisiatif pendigitalan bagi meningkatkan kecekapan, ketelusan dan kemudahan kepada rakyat.
Beliau turut memaklumkan DBKK sedang membangunkan Pelan Induk Enterprise Architecture (EA) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi mewujudkan organisasi berprestasi tinggi melalui penyepaduan data dan penggunaan konsep ‘Single Source of Truth’ dalam membuat keputusan berasaskan bukti.
Pendekatan itu, katanya, bukan sahaja mempercepat inovasi perkhidmatan kepada rakyat, malah menjimatkan kos jangka panjang serta selari dengan hala tuju Bandaraya Pintar sebagai teras transformasi pengurusan bandar.
DBKK sebelum ini turut menerima pengiktirafan Kementerian Kerajaan Tempatan sebagai bandar berstatus ‘Early Adaptor’ dalam Penarafan Bandar Pintar Malaysia, selain terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menyokong infrastruktur digital, keselamatan siber dan penggunaan teknologi pintar.
“Semua usaha ini adalah demi memastikan Kota Kinabalu terus menjadi bandar raya yang bersih, selamat, cekap dan berdaya tahan untuk generasi hari ini dan masa hadapan,” katanya.






