TAWAU, SABAH – Seorang pekerja asing ditempatkan dalam zon merah (kritikal) manakala lima lagi di zon kuning (separa kritikal) selepas sebuah tong gas mengandungi klorin pecah ketika mereka menjalankan kerja-kerja penggalian tanah di Pegagau Agriculture Wakuba sini, petang semalam.
Mangsa-mangsa terlibat merupakan warganegara Indonesia dan Filipina berusia 19 hingga 43 tahun.
Seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tawau bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan 5.37 petang itu dari Hospital Tawau.
“Pasukan bomba bergegas ke lokasi kejadian untuk mendapatkan maklumat dan mendapati kebocoran gas telah berlaku sekitar jam 11 pagi tadi berhampiran tapak pembinaan rumah pekerja.
“Pasukan bomba membuat kerja-kerja pengezonan menggunakan pengesan gas untuk mengambil bacaan radiasi bahan dan menampal kebocoran pada tong yang dikenalpasti jenis klorin menggunakan tanah dan plastik.
“Seterusnya pasukan bomba memindahkan orang awam yang berada berhampiran kawasan pada jarak 500m-1km,” kata seorang jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah.
Katanya, kerja-kerja dekontaminasi telah dijalankan sebelum meninggalkan lokasi kejadian dan operasi ditamatkan pada jam 8.36 malam.





