KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 47 pemanah tradisional dari Kota Kinabalu, Sipitang, Keningau, Beaufort, Weston, Kota Belud, Sandakan, Lahad Datu, Wilayah Persekutuan Labuan dan Lawas telah berkampung selama dua hari di Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi mengikuti Kursus Asas Jurulatih Memanah Tradisional Sabah di bawah anjuran Rawja Archery PLT dengan kerjasama Kelab Memanah Kesatria Kota Kinabalu (KESATRIA) yang berakhir semalam.
Kursus terbabit dikendalikan oleh dua orang jurulatih dari Melaka yang berpengalaman luas serta berpengetahuan tinggi tentang sukan memanah tradisional di Malaysia iaitu Coach Hatri Asmawi dan Coach Irham Ihsan.
Kursus ini merangkumi sesi teori yang sarat dengan info berkaitan kejurulatihan memanah tradisional, sains sukan, anatomi, pengendalian kelas, tatacara keselamatan, kaedah, teknik, prinsip, adab serta juga sejarah memanah tradisional di Malaysia.
Kemudian kelas disambung dengan sesi praktikal yang mana kesemua peserta dikehendaki berperanan sebagai anak murid dan juga jurulatih di lapangan…
Selain itu, peserta juga belajar teknik berlatih yang betul menggunakan getah serta teknik latihan Kepaze yang diamalkan oleh para pemanah tradisional lain khasnya di Turki.
Pada hari ketiga, para peserta berpeluang seharian mengikuti Klinik Memanah Tradisional yang dikendalikan oleh Coach Hatri di Arena Memanah Tradisional UMS, Pantai UMS.
Sesi klinik ini adalah kesinambungan dari Kursus Asas Jurulatih, yang mana para peserta berpeluang untuk mempelajari secara lebih terperinci perihal teknik memanah tradisional yang betul.
Presiden Persatuan Memanah Tradisional Kota Kinabalu (PMTKK), Md Suhaimi Sapiee dalam satu kenyataan media berkata tujuan kursus ini diadakan adalah untuk melahirkan lebih ramai jurulatih memanah tradisional di Sabah, agar mereka dapat memberi bimbingan yang betul dalam sukan memanah tradisional ini di tempat masing-masing.
Dalam ertikata lain, dari penyertaan ini, mereka sebenarnya telah layak untuk dilantik dan ditauliahkan sebagai jurulatih memanah tradisional oleh kelab masing-masing, memandangkan kelab-kelab mereka semua telah berdaftar di bawah Pesuruhjaya Sukan Negeri Sabah.
“Ini penting sebagai langkah mula persediaan bagi semua pemanah tradisional Sabah untuk pemilihan pemanah tradisional terbaik yang akan mewakili negeri ini ke peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa kelak,” katanya.