KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak meluluskan penambahan 17 kerusi baharu, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat daripada 82 kepada 99.
Speaker DUN, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, keputusan itu telah dipersetujui, namun penentuan sempadan kawasan bergantung kepada kajian Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Memetik Borneo Post, beliau berkata, laporan SPR akan dipamerkan untuk semakan dan bantahan sebelum diwartakan, termasuk pengesahan 17 kawasan baharu tersebut.
Beliau menjelaskan penambahan kerusi DUN hanya memerlukan majoriti mudah, berbeza dengan kerusi Parlimen yang memerlukan majoriti dua pertiga.
Jika proses selesai, kawasan baharu berpotensi digunakan pada pilihan raya akan datang, namun masih menunggu maklum balas SPR dan kerajaan Persekutuan.
Mengulas keperluan persempadanan semula, beliau menegaskan faktor geografi lebih relevan berbanding jumlah pengundi, memandangkan keluasan Sarawak menyukarkan pengurusan kawasan besar seperti Bintulu, Kuala Rajang dan Baram.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata penggal DUN semasa berakhir Februari 2027 dan pembubaran hanya boleh dilakukan oleh Yang di-Pertua Negeri atas nasihat Premier.
Terdahulu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah memaklumkan SPR mempunyai kuasa muktamad menentukan lokasi kerusi baharu selepas pindaan Perlembagaan diluluskan Parlimen.






