Dua Remaja Lelaki Dikhuatiri Lemas Selepas Hilang Ketika Mandi di Sungai Pagalan,...

Dua Remaja Lelaki Dikhuatiri Lemas Selepas Hilang Ketika Mandi di Sungai Pagalan, Keningau

0
SHARE

KENINGAU: Dua remaja lelaki berusia 13 dan 16 tahun dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hilang ketika mandi bersama rakan-rakan berhampiran Jeti Feri Pagalan, Jalan Bakti Logam, di sini, pada petang Jumaat.

Mangsa dikenali sebagai Jastey Goment, 16, dan Khend Romel Ponce Caceres, 13, yang masih belum ditemukan setakat operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditangguhkan pada jam 6 petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, PKPgB Severinus Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 3.15 petang sebelum 10 anggota digerakkan ke lokasi.

“Pasukan tiba di lokasi pada jam 3.20 petang dan berdasarkan maklumat saksi, kedua-dua mangsa sebelum itu sedang mandi bersama rakan-rakan mereka sebelum disedari lemas.

“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi SAR menggunakan kaedah pencarian di permukaan air dengan bantuan tali sejauh 500 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, kawasan pencarian kemudiannya diperluaskan sehingga radius dua kilometer meliputi permukaan air serta tebing sungai dalam usaha mengesan kedua-dua mangsa.

Bagaimanapun, kedua-dua remaja berkenaan masih belum ditemukan sebelum operasi SAR hari pertama ditangguhkan pada jam 6 petang.

“Operasi SAR akan disambung semula hari ini, 23 Ogos, bagi meneruskan usaha mencari kedua-dua mangsa,” katanya.

Operasi diketuai PBK I Danny Boy Cornelio dengan kekuatan 10 anggota BBP Keningau membabitkan jentera Fire Rescue Tender (FRT), Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dan sebuah URVAN.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut terbabit dalam operasi berkenaan.