KOTA KINABALU: Persatuan Soft Tenis Sabah (SSTA) baru-baru ini menganjurkan kejohanan selama dua hujung minggu di Kompleks Sukan Likas, melibatkan 25 pelajar dari SRJK St James serta 22 pemain yang bersaing dalam acara perseorangan bawah 12 tahun, beregu bawah 12 tahun dan perseorangan terbuka lelaki.
Presiden SSTA, Liew Vun Shin berkata, penaung persatuan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri, Grace Lee, hadir menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang.
Grace berpuas hati dengan prestasi pemain muda yang disifatkan menunjukkan komitmen dan usaha tinggi sepanjang kejohanan berlangsung, selain menghargai sokongan ibu bapa dalam memastikan anak-anak menghadiri sesi latihan.
Liew turut memaklumkan bahawa Persatuan Soft Tenis Taipei (TSTA) telah menjemput pemain junior Sabah untuk menyertai program latihan selama seminggu di Taipei pada Disember ini, diikuti penyertaan dalam kejohanan junior.
“Susulan kejohanan ini, SSTA akan memilih pemain junior yang sesuai untuk menyertai program yang ditawarkan oleh TSTA,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Sabah, Asnie Mohn Noor, serta Presiden Persatuan Soft Tenis Malaysia (MSTA), Datuk Shamshuzaman Hj Sulaiman atas sokongan berterusan terhadap pembangunan sukan soft tenis di Sabah.






