Sabah Sasar Tingkat Eksport Durian Premium ke China, Pacu Pertumbuhan Ekonomi Luar...

Sabah Sasar Tingkat Eksport Durian Premium ke China, Pacu Pertumbuhan Ekonomi Luar Bandar

0
SHARE

PENAMPANG: Sabah menyasarkan peningkatan eksport durian premium ke pasaran antarabangsa, khususnya China, sebagai pemangkin baharu pertumbuhan ekonomi luar bandar dan peningkatan pendapatan rakyat dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, usaha itu akan memberi manfaat besar kepada Sabah memandangkan permintaan tinggi dari China dan Korea terhadap durian premium termasuk varieti tempatan negeri ini.

Beliau berkata, ketika ini keluasan tanaman durian premium di Sabah masih rendah iaitu sekitar 5,000 ekar, dengan hanya kira-kira 800 ekar pokok yang telah matang dan mengeluarkan hasil, sekali gus menunjukkan potensi besar untuk diperluaskan secara berperingkat.

Menurutnya, selain varieti popular seperti Musang King, Duri Hitam dan IOI, durian tempatan Sabah seperti Kinabalu King, Durian Dalit dan Tenom Beauty mempunyai nilai komersial tinggi serta berpotensi dijadikan produk eksport dan tarikan agropelancongan.

Jamawi berkata, penanaman durian premium merupakan tanaman berimpak tinggi yang mampu membantu rakyat keluar daripada garis kemiskinan, justeru kementeriannya akan memperkasakan Program Kebun Dapur dengan menggalakkan penduduk luar bandar menanam empat hingga lima pokok durian premium di sekitar rumah masing-masing.

“Hasil durian ini kelak akan dikumpulkan di pusat pengumpulan yang diwujudkan bersama Korporasi Pembangunan Desa (KPD) dan Jabatan Pertanian bagi memastikan rantaian bekalan tersusun serta memudahkan pemasaran,” katanya.

Sementara menunggu durian matang dalam tempoh lima hingga enam tahun, beliau berkata kementerian akan melaksanakan gerakan bersepadu melibatkan semua agensi di bawah Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) bagi membantu rakyat menjana pendapatan melalui aktiviti sokongan seperti ternakan ikan, ayam pedaging dan ayam telur.

Beliau turut memaklumkan bahawa kawasan berkenaan dirancang dibangunkan sebagai destinasi agropelancongan bagi Penampang dan Kota Kinabalu dalam tempoh satu hingga dua tahun, sekali gus mewujudkan limpahan ekonomi kepada komuniti setempat melalui kedatangan pelancong dari luar negara.

Dalam usaha memperkukuh ekosistem pertanian, Jamawi berkata kerajaan negeri turut bekerjasama dengan Universiti Malaysia Sabah dan UiTM Sabah dalam aspek pendidikan, penyelidikan dan amalan pertanian lestari, bagi memastikan pembangunan sektor durian premium Sabah mampan dan berdaya saing di peringkat global.