LAHAD DATU: Polis menahan seorang wanita tempatan berusia 37 tahun selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu dalam satu operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Polis Daerah Lahad Datu, di sebuah hotel di Jalan Seroja, di sini, hari ini.
Dalam operasi Op Tapis yang dijalankan kira-kira jam 10.50 pagi itu, sepasukan pegawai dan anggota BSJND IPD Lahad Datu bertindak hasil maklumat sebelum menyerbu sebuah bilik hotel dan menahan suspek.
Hasil pemeriksaan lanjut menemukan satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu, selain sebatang straw yang telah diubah suai, dipercayai digunakan untuk penyalahgunaan dadah.
Ujian saringan awal air kencing mendapati wanita berkenaan positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
Menurut polis, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah, serta Seksyen 15(1)(a) akta sama bagi kesalahan memasukkan dadah ke dalam badan. Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
Semakan rekod lampau turut mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, polis menegaskan operasi berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP HJ. Dzulbaharin Ismail, bersama seluruh warga IPD Lahad Datu dalam membanteras jenayah dadah di daerah ini.






