PUTRAJAYA: Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan bahawa dana berjumlah RM2.3 bilion yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bukan sumbangan politik daripada keluarga Diraja Arab Saudi, sekali gus menolak pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mendapati wang berkenaan dipindahkan terus ke akaun peribadi tertuduh tanpa bukti sokongan yang sah.
Keputusan itu disampaikan oleh Collin Lawrence Sequerah, yang ketika itu Hakim Mahkamah Tinggi dan kini Hakim Mahkamah Persekutuan, ketika membacakan penghakiman dalam kes melibatkan dana RM2.3 bilion berkaitan 1MDB.
Dalam penghakimannya, mahkamah mendapati tiada sebarang resit, rekod rasmi atau pengakuan daripada kerajaan mahupun mana-mana parti politik berhubung penerimaan wang tersebut sebagai sumbangan politik. Hakim turut menyatakan bahawa surat sumbangan Arab yang didakwa wujud dihantar ke alamat kediaman peribadi tertuduh, dan bukannya ke alamat rasmi kerajaan atau parti politik.
Menurut Sequerah, tiada bukti kukuh yang mengaitkan penderma yang didakwa daripada keluarga Diraja Arab Saudi dengan sumbangan politik yang sah. Malah, beliau menegaskan adalah mustahil sejumlah wang yang begitu besar dipindahkan tanpa rekod akaun yang lengkap dan telus.
“Pada ketika itu, parti politik yang dipimpin tertuduh ialah UMNO, sebuah parti politik terbesar di Malaysia dengan sejarah panjang sejak 1946. Mustahil bagi seseorang yang memegang jawatan Perdana Menteri untuk tidak menyimpan rekod akaun yang betul bagi parti yang kononnya menerima jumlah wang sebesar itu,” katanya.
Mahkamah turut menegaskan bahawa walaupun dana tersebut didakwa sebagai sumbangan politik, dakwaan itu tidak menghalalkan penggunaannya sekiranya wang tersebut berpunca daripada sumber haram. Tujuan penggunaan dana, menurut hakim, adalah tidak relevan sekiranya sumber asal wang itu tidak sah.
Sehubungan itu, mahkamah memutuskan bahawa hujah pembelaan tertuduh berhubung dakwaan sumbangan politik daripada keluarga Diraja Arab Saudi adalah tidak berasas dan tidak boleh diterima.
Najib, 72, berdepan empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB melalui AmIslamic Bank Berhad antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014, di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Selain itu, beliau turut didakwa atas 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan transaksi antara 22 Mac hingga 30 Ogos 2013, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.






