JaPen, DOSM Kerjasama Promosi PADU

JaPen, DOSM Kerjasama Promosi PADU

0
SHARE
Japen
Amri (empat dari kiri) bersama rombongan mengabadikan gambar bersama pihak JaPen ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Jabatan Penerangan Negeri Sabah (JaPen) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Negeri Sabah bekerjasama bagi mempromosikan Pangkalan Data Utama (PADU).

Muhammad Amri Idris, Pengarah DOSM Negeri Sabah berkata, kerjasama antara agensi kerajaan amat penting dalam mempromosikan dasar dan inisiatif kerajaan seperti sistem PADU.

“Pada masa ini, fungsi dan peranan JaPen amat bersesuaian bagi membantu pihak DOSM dalam memberi kefahaman berkenaan sistem PADU kepada masyarakat khususnya di Sabah.

“Melalui kerjasama ini, kita akan mempromosikan pelaksanaan sistem PADU secara bersemuka serta melalui media sosial agar masyarakat akan mendapat maklumat yang sahih berkenaan sistem ini.

“Sebanyak 118 Pusat Ekonomi Digital (PEDi) serta kaunter terpilih termasuk pejabat DOSM dibuka secara berperingkat bagi membantu orang ramai membuat pengemaskinian maklumat ataupun pendaftaran baharu sekiranya menghadapi masalah talian mahupun peranti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan kepada Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, pada Isnin.

Amri menyarankan rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas untuk mengemaskini maklumat dalam sistem PADU bagi mengelakkan tercicir daripada sebarang bentuk bantuan atau subsidi bersasar pada masa akan datang.

Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah (KPP) Bahagian Media dan Komunikasi Korporat JaPen, Peter Tong Ah Pin, KPP Bahagian Media Sibr JaPen, Geraldine Voo Yee Wen dan Penolong Pengarah, Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat JaPen, Edi Rizam Kasim, Penolong Pengarah Kanan DOSM, Sarinah Samiun yang juga Penyelaras PADU Negeri Sabah, Penolong Pengarah DOSM, Sharul Nizam Abu Hanifah dan Penolong Pegawai Perangkaan Kanan, Asmeh Nanggau. — JABATAN PENERANGAN SABAH