Pedalaman Bawah Sabah Bakal Terima Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya Yang Pertama

Pedalaman Bawah Sabah Bakal Terima Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya Yang Pertama

0
SHARE

SOOK, KENINGAU – Projek pembinaan Bangunan Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya (TDKKU) bernilai 2.5 juta bakal dibina di sini.

Pembantu Menteri Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Flovia Ng berkata sebidang tanah berkeluasan 1.6 ekar telahpun dipilih sebagai tapak pembinaan.

Menurut beliau, tapak tersbut berada di dalam sebidang tanah kerajaan seluas 6 ekar yang telah diwartakan oleh Pejabat Daerah Kecil Sook untuk kegunaan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JPKAS) bagi inisiatif kemasyarakatan.

Dalam satu mesyuarat bagi membincang peringkat terakhir dalam implementasi projek bersama Penolong Pegawai Daerah Kecil Sook semalam, Flovia berkata projek tersebut akan dikelolakan oleh pihak Jabatan Kerja Raya Sabah.

“TDKKU Sook ini merupakan kemudahan pertama di Pedalaman Bawah dan bakal menampung serta mempermudahkan kanak-kanak OKU untuk mendapat pendidikan agar tidak terpinggir dan mampu diintegrasikan dengan masyarakat umum…

“TDKKU bagi Pedalaman Bawah ini adalah sangat praktikal dan bakal memberi kemudahan kepada kanak-kanak OKU bukan saja di Daerah Sook tapi juga di sekitar kawasan Parlimen Keningau dan Pensiangan,” katanya.

Tambah beliau, pusat berkenaan disediakan dengan asrama yang mampu menampung sehingga 50 orang pelajar.

“Ini bakal menyelesaikan permasalahan ibu bapa atau penjaga serta dan khususnya kanak-kanak OKU yang memerlukannya,” kata Flovia.