KUALA LUMPUR – Ringgit memulakan urus niaga pagi ini dengan lebih positif apabila dibuka mengukuh pada paras 4.4260/4330 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Pada Khamis lalu, paras itu ialah pada 4.4350/4395.
Memetik sumber Bernama, dilaporkan Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid sebagai berkata Indeks dolar Amerika Syarikat (DXY) susut menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS pada 3 Mei ini.
“Had siling hutang kerajaan AS yang tamat tempoh pada Jun, juga hanya menambah ketidaktentuan pasaran.
“Jika pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) cenderung menurunkan kadar faedah, ini mungkin membawa kepada penurunan DXY yang akan mengukuhkan lagi ringgit.
“Pada masa ini, gandingan dolar AS – ringgit dijangkakan berlegar sekitar RM4.42 hingga RM4.43 hari ini,” katanya.
Pasaran ditutup pada Jumaat dan Isnin bersempena cuti umum Aidilfitri.
Sementara itu, pada sesi awal hari ini, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama.
Ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 3.2954/3008 daripada 3.2923/2958 sewaktu ditutup pada Khamis lepas.
Ianya rendah berbanding pound Britain kepada 5.5307/5395 daripada 5.5127/5183 dan turun kepada 4.8938/9016 daripada 4.8616/8666 berbanding euro.
Ia mengukuh berbanding rupiah Indonesia pada 295.4/296.1 daripada 296.4/297.1 dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.3213/3268 daripada 3.3256/3292.
Berbanding peso Filipina, ringgit susut kepada 7.95/7.97 daripada 7.91/7.93 pada Khamis lalu dan turun berbanding baht Thailand kepada 12.9113/9370 daripada 12.8947/9134.