M. Nasir Mahu Muzik Melayu Tembusi Pasaran Asia

M. Nasir Mahu Muzik Melayu Tembusi Pasaran Asia

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Pasaran muzik Melayu perlu diperluaskan melangkaui Malaysia dengan memberi tumpuan kepada rantau Asia, khususnya Asia Tenggara yang mempunyai hubungan bahasa dan budaya serumpun.

Pengarah Luncai Emas, Dato’ M. Nasir berkata, muzik Melayu mempunyai potensi besar untuk membina kelompok pendengar baharu terutama di Indonesia, Brunei dan Singapura sebelum berkembang ke pasaran Asia yang lebih luas.

“Kalau kita bercakap tentang perkembangan muzik Melayu, kita perlu melihatnya sebagai satu pasaran yang lebih besar daripada Malaysia.

Bahasa Melayu dan budaya serantau mempunyai sejarah dan hubungan yang panjang, jadi ada ruang untuk kita membina pendengar di Indonesia, Brunei, Singapura dan seterusnya ke pasaran Asia yang lebih luas,” katanya.

Menurut M. Nasir, usaha membawa muzik tempatan ke peringkat antarabangsa juga tidak bermakna artis perlu mengorbankan identiti muzik masing-masing semata-mata untuk memenuhi kehendak pasaran luar.

Sebaliknya, katanya, identiti tersebut perlu dibawa dan diperkenalkan kepada pendengar baharu dengan sokongan label dalam menyediakan jaringan serta platform yang bersesuaian.

Usaha itu antara lain diterjemahkan menerusi penyertaan Pitahati dalam AXEAN Festival 2026 di Bali, Indonesia pada 29 dan 30 Ogos lalu.

Festival berkenaan menjadi platform menghimpunkan artis serta pemain industri dari pelbagai negara menerusi persembahan, jaringan industri, sesi panel, padanan perniagaan dan program pembangunan muzik.

Pitahati dalam kenyataannya berkata, penyertaan lebih banyak artis Malaysia dalam festival, showcase dan program industri serantau penting bagi membuka pasaran serta memperkenalkan kepelbagaian muzik Melayu kepada khalayak baharu.

Sementara itu, Pengurus Produksi Luncai Emas, Keon Omar berkata, pembangunan pasaran antarabangsa memerlukan usaha berterusan dan tidak boleh bergantung kepada satu persembahan atau festival sahaja.

Katanya, ia memerlukan lebih banyak persembahan, kolaborasi artis, pertukaran industri dan promosi selain usaha membina komuniti pendengar di negara lain.

Luncai Emas turut berharap lebih banyak sokongan daripada kerajaan dan sektor swasta dapat diberikan bagi membantu artis tempatan menembusi pasaran luar sekali gus membentuk ekosistem eksport muzik Malaysia yang lebih kukuh dan berterusan.