Pesakit Kritikal Selepas Dijangkiti Semula COVID-19

Pesakit Kritikal Selepas Dijangkiti Semula COVID-19

0
SHARE

PARIS, PERANCIS – Doktor di Perancis sedang bertungkus lumus merawat seorang pesakit yang tenat akibat dijangkiti varian COVID-19 dari Afrika Selatan.

Memetik laporan AFP, kejadian itu berlaku kira-kira empat bulan selepas mangsa pulih daripada jangkitan COVID-19 sebelum ini, yang disifatkan oleh penulis kajian sebagai kes pertama seumpamanya.

Lelaki berusia 58 tahun yang ada latar belakang penyakit asma itu didapati positif COVID-19 pada September lalu ketika mendapatkan rawatan berikutan demam dan mengalami kesukaran untuk bernafas.

Bagaimanapun, beliau hanya mengalami gejala itu selama beberapa hari sebelum ujian saringan sebanyak dua kali memberikan keputusan negatif pada Disember lalu.

Namun, lelaki itu kembali dimasukkan ke hospital pada bulan lalu dan disahkan dijangkiti varian COVID-19 dari Afrika Selatan.

Kesihatan pesakit itu terus merosot dan kini berada dalam ‘keadaan kritikal’ dengan bergantung pada alat bantuan pernafasan.

“Berdasarkan pengetahuan kami, ini adalah deskripsi pertama jangkitan semula COVID-19 dengan (varian) Afrika Selatan yang menyebabkan pesakit kritikal, empat bulan selepas jangkitan pertama membabitkan gejala sederhana,” menurut penulis kajian diterbitkan dalam jurnal ‘Clinical Infectious Diseases’, minggu ini.

Varian 501Y.V2 dikesan di Afrika Selatan, akhir tahun lalu, dan segera menjadi tumpuan kecemasan dalam kalangan pakar.