Kes Bunuh Ibu Tunggal 14 Tahun Lalu: Inspektor Polis Akhirnya Bebas Hukuman...

Kes Bunuh Ibu Tunggal 14 Tahun Lalu: Inspektor Polis Akhirnya Bebas Hukuman Mati

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seorang pegawai polis berpangkat inspektor akhirnya bebas daripada hukuman mati selepas Mahkamah Persekutuan mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya berhubung kes pembunuhan seorang ibu tunggal di Keningau yang berlaku 14 tahun lalu.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Tan Sri Nallini Pathmanathan bersama Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan sebulat suara membenarkan rayuan Ahmad Rizal Umar, 43, serta mengarahkan beliau dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan.

Tertuduh sebelum ini disabitkan bersalah dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 25 Jun 2020 selepas didapati membunuh Kartini Borhan, 27, antara jam 4 hingga 5 pagi pada 29 September 2011 di sebuah rumah di Taman Adika, Keningau.

Ketika kejadian, Ahmad Rizal bertugas sebagai inspektor di Ibu Pejabat Polis Daerah Keningau.

Rayuannya di Mahkamah Rayuan sebelum ini telah ditolak pada 23 September 2024, sekali gus mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadapnya.

Namun, keputusan terbaharu Mahkamah Persekutuan pada Rabu menamatkan hampir sedekad perjuangannya bagi membersihkan nama daripada tuduhan tersebut.

Ahmad Rizal diwakili peguam, Datuk Ram Singh.