GRS Buktikan Kejayaan, Warisan Hanya Pandai Menjual Janji – Nizam

GRS Buktikan Kejayaan, Warisan Hanya Pandai Menjual Janji – Nizam

0
SHARE

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan bahawa pencapaiannya di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, membuktikan parti itu bukan sekadar menabur janji, tetapi bekerja membawa kemajuan nyata kepada rakyat Sabah.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, tuduhan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal yang menuduh Hajiji “menjual ubat” hanyalah cubaan mengalih perhatian daripada kegagalan pentadbiran Warisan yang masih segar dalam ingatan rakyat.

“Shafie boleh menuduh apa sahaja, tetapi rakyat tahu siapa yang menjual janji dan siapa yang bekerja dalam diam membawa hasil kepada Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Menurut beliau, Pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) bukan sekadar slogan kosong seperti yang cuba digambarkan oleh Warisan.

Katanya, di bawah pentadbiran Hajiji, hasil negeri Sabah mencecah hampir RM7 bilion pada tahun 2024, hasil daripada reformasi fiskal dan pentadbiran baharu. Dalam tempoh Januari hingga Jun 2025 sahaja, pelaburan bernilai RM11.37 bilion telah dicatatkan di negeri ini.

Mengulas isu air yang dijadikan bahan politik oleh Warisan, Nizam menjelaskan kerajaan GRS kini melaksanakan 18 projek infrastruktur air di seluruh Sabah termasuk Projek Empangan Air Tawau, Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon 2 di Papar, serta Projek Naik Taraf Muka Sauk Kabang yang dijangka siap tahun hadapan.

“Projek-projek ini adalah pelan jangka panjang untuk menjamin bekalan air bersih yang mampan kepada rakyat, bukan janji ‘setahun selesai’ seperti yang dicanang oleh Warisan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa usaha GRS turut merangkumi pembinaan empangan baharu, pembesaran loji sedia ada serta naik taraf sistem agihan air yang telah lama diabaikan.

Selain itu, pelan SMJ turut menyaksikan pelbagai projek pembangunan luar bandar termasuk pembinaan dan naik taraf jalan bagi membuka akses ke kawasan pedalaman, selain inisiatif Rumah Mesra SMJ yang telah menyiapkan lebih 7,000 unit rumah untuk rakyat berpendapatan rendah. Skim Bantuan Tunai SMJ juga diperluas bagi meringankan beban rakyat.

“Semua ini membuktikan GRS bekerja untuk rakyat. Ketika Warisan berkuasa, banyak pelaburan hanya tinggal di atas kertas, krisis air semakin teruk, dan pelbagai projek rakyat terbengkalai selepas dua tahun mentadbir,” tegas Nizam.

Nizam sekali lagi menegaskan bahawa GRS tidak menjual ubat seperti yang dituduh, sebaliknya sedang “menyembuhkan” kesan daripada pentadbiran lama yang gagal.

“Di bawah Hajiji, Sabah bergerak dengan tenang, berasaskan fakta dan hasil, bukan retorik. Rakyat tidak perlukan lagi sandiwara politik lama, mereka mahukan kerajaan yang bekerja, bukan yang berjanji,” katanya.