PBRS Harus Diiktiraf Dengan Jawatan Menteri Penuh Dalam Kabinet Baharu

PBRS Harus Diiktiraf Dengan Jawatan Menteri Penuh Dalam Kabinet Baharu

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) sebagai parti tunggal yang mewakili kaum bumiputera Anak Negeri Sabah dalam Barisan Nasional (BN) harus diiktiraf dengan jawatan menteri penuh di dalam kabinet baharu yang bakal ditubuhkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob.

Hasrat tersebut diluahkan oleh beberapa buah badan bukan kerajaan (NGO) yang berpusat di Negeri Sabah kepada portal Gerak Malaysia.

“Kami mahu aspirasi kami disuarakan di jemaah menteri. Memang benar jawatan menteri adalah bukan bersandarkan kaum atau kuota, tetapi ianya tetap merupakan satu pengiktirafan penting buat kami, dan kami yakin YAB Perdana Menteri yang baru akan mengiktirafkan kami masyarakat bumiputera Anak Negeri Sabah sebagai Keluarga Malaysia yang tetap setia bersama BN selama ini,” kata wakil NGO berkenaan.

PBRS merupakan salah satu daripada empat parti yang menganggotai BN, dan mempunyai Ahli Parlimen tunggal di Parlimen, iaitu Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Presiden PBRS yang memenangi Parlimen Pensiangan pada PRU14 yang lepas.

Arthur telah menjawat jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) di dalam kabinet bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Datuk Arthur Joseph Kurup…

“Terdapat pelbagai spekulasi dan versi barisan kabinet yang viral pada ketika ini. Walaupun tiada keputusan atau pengumuman rasmi dibuat sehingga saat ini, kami berharap hak dan aspirasi kami tidak dinafikan oleh kepimpinan BN…

“Walaupun kami sebagai NGO adalah di luar bidang politik, namun kami percaya pelantikan seorang menteri pusat yang muda dan mewakili kaum Bumiputera Anak Negeri Sabah adalah wajib dan mencerminkan kerajaan baru ini adalah inklusif,” tambah pemimpin NGO tersebut.

Ujar beliau, ianya juga mampu mengembalikan keyakinan dan sokongan orang muda dan akar umbi terhadap BN di negeri Sabah.