THAILAND: Sebuah kapal kargo Thailand terbakar selepas dipercayai terkena projektil ketika melalui Selat Hormuz berhampiran pantai Oman semalam, dengan tiga anak kapal dilaporkan hilang, menurut Jabatan Marin Thailand.
Memetik AFP, pihak berkuasa memaklumkan bahawa 20 kru dari kapal berdaftar Thailand, Mayuree Naree, berjaya diselamatkan oleh tentera laut Oman.
Tentera laut Thailand dalam satu kenyataan berkata kapal pengangkut pukal itu diserang ketika sedang melalui Selat Hormuz selepas berlepas dari Pelabuhan Khalifa di Emiriah Arab Bersatu.
Gambar yang dikongsi Tentera Laut Diraja Thailand menunjukkan asap hitam tebal keluar dari badan dan struktur atas kapal, manakala beberapa rakit penyelamat kelihatan terapung di laut.
“Perincian khusus dan punca serangan masih dalam siasatan,” menurut kenyataan itu.
Tentera laut Oman memaklumkan bahawa operasi menyelamat masih dijalankan bagi mengesan tiga kru yang masih hilang.
Insiden itu berlaku ketika ketegangan meningkat di rantau berkenaan selepas Iran melancarkan serangan terhadap negara jiran pengeksport minyaknya, sekali gus menimbulkan ancaman terhadap laluan perkapalan di Selat Hormuz serta memberi kesan kepada ekonomi tenaga global.
Bagaimanapun, belum dapat dipastikan sama ada serangan terhadap kapal tersebut merupakan sebahagian daripada tiga kapal komersial yang sebelum ini dilaporkan oleh pusat Pemantauan Perdagangan Maritim United Kingdom sebagai diserang di Teluk pada hari yang sama.
Data laman penjejakan kapal menunjukkan Mayuree Naree berada berhampiran pantai Oman di Selat Hormuz dan bergerak perlahan pada kelajuan sedikit melebihi satu knot.
Kapal sepanjang 178 meter dengan muatan sekitar 30,000 tan itu dilaporkan sedang dalam perjalanan menuju ke Kandla di India.
Tentera laut Thailand berkata kapal berkenaan dimiliki syarikat pengangkutan Thailand, Precious Shipping.






