Penunggang Motosikal Maut Langgar Belakang Kereta di Jambatan Tun Fuad Stephen

Penunggang Motosikal Maut Langgar Belakang Kereta di Jambatan Tun Fuad Stephen

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang sebuah kereta dalam kemalangan di Jambatan Jalan Tun Fuad Stephen awal pagi semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pihak polis menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 1 pagi Khamis.

Menurutnya, kemalangan tersebut melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang dipandu wanita tempatan berusia 20 tahun dan sebuah motosikal Yamaha 135LC yang ditunggang lelaki tempatan berusia 21 tahun.

“Siasatan awal mendapati kereta tersebut bergerak dari arah pusat bandar menuju ke arah Telipok.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal yang berada di belakang dipercayai hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang kanan kereta sebelum terbabas di atas jalan raya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth II.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk tujuan bedah siasat yang dijadualkan pada jam 11 pagi hari sama.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Kedua-dua kenderaan yang terlibat telah ditahan bagi tujuan pemeriksaan lanjut di Puspakom,” katanya.

Syed Lot berkata siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengambil rakaman percakapan saksi dan waris bagi membantu siasatan.

Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Kota Kinabalu, Inspektor See Hong Ling di talian 018-9091014.

Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas serta memandu dengan lebih berhati-hati terutama pada waktu malam bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.