KOTA KINABALU: Backbenchers Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah mengingatkan kerajaan supaya menyediakan pelan tindakan segera bagi mendepani kesan ekonomi global susulan ketegangan yang memuncak di Timur Tengah.
Pengerusi organisasi itu, Datuk Masiung Banah berkata kerajaan pusat sepatutnya sudah menggariskan langkah jangka pendek dan sederhana bagi menangani kesan kenaikan mendadak harga minyak mentah dunia.
Menurut beliau, peningkatan harga minyak global lazimnya akan memberi kesan langsung kepada harga barangan keperluan termasuk bahan makanan.
“Jika kerajaan lambat bertindak tanpa pelan tindakan awal, akhirnya peniaga akan mengambil kesempatan dan kenaikan harga barang keperluan harian menjadi tidak terkawal.
“Kenaikan mendadak minyak mentah global berpotensi mencetuskan kesan inflasi berganda yang akhirnya meningkatkan kos sara hidup rakyat.
“Ketegangan geopolitik antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran turut menjejaskan laluan perdagangan utama dunia di Selat Hormuz, sekali gus memberi kesan fiskal terhadap kenaikan harga bahan mentah di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Masiung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut menggesa Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi Malaysia melaksanakan dasar fiskal yang sesuai bagi menangani kesan peperangan tersebut.
Beliau berkata kesan kenaikan harga bahan api serta barangan import kini sudah mula dirasai rakyat.
“Sekiranya peperangan berlanjutan, kerajaan perlu bersedia dengan pelan fiskal tambahan bagi memastikan rakyat tidak terus terbeban,” katanya.
Tambah beliau, tekanan kewangan terhadap kerajaan juga dijangka meningkat termasuk kemungkinan pertambahan defisit perbelanjaan negara.
Pengerusi Kumpulan Sedco itu berkata keadaan boleh menjadi lebih kritikal sekiranya harga diesel meningkat kerana kos pengangkutan dan logistik akan turut naik, sekali gus memberi impak kepada harga barangan di pasaran tempatan.






