
KOTA KINABALU, SABAH – Menteri Pembangunan Masyarakan dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) merangkap ADUN Sugut, Datuk James Ratib menghulurkan sebanyak RM3,000 kepada remaja Crisnanalina Jumis, 20 dari Kampung Dalamas, Paitan sebagai bantuan beliau melanjutkan pengajian ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada hari Khamis.
James yang ditemui berkata, bantuan tersebut disampaikan oleh Setiausaha Perhubungan Awam (SUPA) Menteri KPMKR dan ADUN Sugut, Justinus Jalang, semalam, Crisnanalina telah diterima masuk ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) selepas menamatkan Tingkatan 6 di SMK Pitas.
“Saya selaku pemimpin di Sugut sentiasa membantu tanpa mengira fahaman politik. Apa yang penting ialah, maklumkan saya.
“Saya selaku wakil rakyat di Sugut, tiada halangan untuk membantu kepada mereka yang memerlukan bantuan. Masalahnya kalau tidak minta bantu hanya mungkin kerana perbezaan fahaman politik, macam mana saya tahu?” ujar beliau.
Difahamkan keluarga khususnya Crisnanalina tiada memaklumkan kepada pejabat ADUN atau Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) DUN Sugut atau wakil rakyat kawasan berhubung masalah yang dihadapi.
“Tetapi wakil rakyat Sugut tidak dimaklumkan sendiri oleh keluarga ini berkenaan masalah perbelanjaan dihadapi mereka untuk anak mereka yang sambung belajar.
“Sebagai wakil rakyat, saya sentiasa terbuka untuk membantu rakyat yang memerlukan termasuklah masalah bayaran hospital (pembiayaan bayaran bill pesakit dalam wad hospital) kepada rakyat, apatah lagi pendidikan anak-anak di kawasan ini.
“Itu sebabnya saya telah melancarkan Tabung Pendidikan Datuk James Ratib (TDJR), baru-baru ini untuk anak-anak Sugut bermula 2025, kerana saya mahu tiada anak-anak Sugut yang tercicir dalam pelajaran terutama melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti tidak kira IPTA atau IPTS,” jelas beliau.
Menurut James lagi, bermula tahun hadapan Tabung Pendidikan DJR Dun Sugut untuk membantu pelajar yang kurang berkemampuan, dengan harapan tiada lagi masalah seperti ini.
“Dengan adanya Tabung Pendidikan DJR bermula tahun depan, 2025, tiada lagi pelajar-pelajar yang melanjutkan pelajaran ke peringkat kolej atau universiti dari kawasan Sugut, akan tercicir atas sebab kewangan.
“Kerana tabung ini akan membiayai perbelanjaan awal terutama sekali yuran pendaftaran dan bayaran-bayaran awal. Tabung ini sekurang-kurangnya meringankan beban keluarga,” katanya.
Tambahnya, sebelum Tabung Pendidikan DJR bermula tahun depan, mana-mana pelajar anak jadi Sugut yang mendapat tawaran melanjutkan pelajaran, jangan segan atau berdiam diri untuk menghubungi beliau.
Terdahulu, tular kisah Crisnanalina yang mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke UMS tetapi menghadapi kekangan kewangan.
Walaupun menerima tawaran belajar di UMS, keluarganya tidak mampu membayar RM3,000 yang diperlukan untuk pendaftarannya, dengan tarikh akhir pada 14 Oktober serta perbelanjaan lain.
Beliau cuba memohon bantuan kewangan sekali sahaja melalui laman web rasmi tetapi sambungan internet yang lemah di kampungnya menyukarkan proses permohonan itu.





