Majikan Swasta Sabah Berdepan Denda RM5,000 Jika Tidak Benarkan Pekerja Mengundi

Majikan Swasta Sabah Berdepan Denda RM5,000 Jika Tidak Benarkan Pekerja Mengundi

0
SHARE

KOTA KINABALU: Majikan sektor swasta diingatkan supaya memberi laluan penuh kepada pekerja mereka untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum DUN Sabah Ke-17 pada 29 November 2025.

Peringatan ini dibuat berdasarkan Seksyen 25(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang mewajibkan majikan menyediakan tempoh munasabah untuk pekerja keluar mengundi tanpa sebarang potongan gaji, penalti atau tuntutan lain.

Jabatan Tenaga Kerja Sabah berkata majikan disaran memberikan time-off kepada pekerja yang mengundi di pusat mengundi berdekatan, manakala mereka yang perlu pulang ke kawasan jauh wajar diberi pelepasan sehari. 

“Sekiranya pekerja memerlukan lebih masa untuk pergi dan balik, cuti tahunan boleh digunakan mengikut persetujuan kedua-dua pihak, terutama jika hari mengundi tidak diisytiharkan sebagai cuti umum oleh kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan.

Jabatan itu turut menegaskan tindakan menghalang pekerja daripada mengundi adalah satu kesalahan serius.

Mana-mana majikan yang gagal mematuhi Seksyen 25(1) boleh didakwa dan berdepan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum setahun jika sabit kesalahan.