ADUN Karamunting Umum Keluar WARISAN, Sertai Gagasan Rakyat

ADUN Karamunting Umum Keluar WARISAN, Sertai Gagasan Rakyat

0
SHARE
George
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, George Hiew Vun Zin

SANDAKAN, SABAH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, George Hiew Vun Zin dari Parti Warisan (WARISAN) mengumumkan keluar dari parti terbabit bagi menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

George berkata beliau membuat keputusan terbabit berikutan hasrat rakyat Sabah yang sudah tidak mahu melihat keadaan politik yang tidak stabil.

Menurutnya, situasi politik tidak menentu menyebabkan perkembangan ekonomi dan kemajuan Sabah terbantut, termasuk di Karamunting, Sandakan.

“Rakyat sudah penat dengan kemelut politik di Sabah. Hanya dengan kestabilan politik yang utuh kita boleh membawa pembangunan dan perubahan, khususnya di Karamunting yang masih mahukan pelbagai pembaharuan dan pembangunan.

“Demi pembangunan dan kesejahteraan rakyat di kawasan Karamunting, saya membuat keputusan untuk menyokong kepemimpinan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan negeri Sabah di bawah kepemimpinan Datuk Seri Hajiji Noor,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Disamping itu, George turut menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada
Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal atas peluang yang diberikan kepadanya dalam bidang politik.

“Sekarang adalah masa untuk memberikan sepenuh tumpuan dan perhatian untuk menyatupadukan rakyat Sabah, membangunkan Sabah dan menuntut hak-hak kita yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Saya akan menyumbangkan segala tenaga dan masa saya untuk bekerja dan memastikan kebajikan rakyat di kawasan saya akan terus terjaga, di samping membawa pembangunan yang diperlukan di Karamunting,” katanya.