Taraf Keselamatan Udara Malaysia Dikembalikan Kepada Kategori 1 – Wee Ka Siong

Taraf Keselamatan Udara Malaysia Dikembalikan Kepada Kategori 1 – Wee Ka Siong

0
SHARE
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong...

KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata penarafan keselamatan udara Malaysia yang sebelum ini diturunkan oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat (AS) telah dikembalikan kepada Kategori 1 selepas kesemua 33 isu berbangkit dapat diselesaikan.

Beliau berkata, isu yang ditimbulkan FAA pada 2019, sejak awal tidak berulang dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) berjaya menyelesaikan 29 daripada isu berkenaan menerusi penilaian kedua FAA pada Disember tahun lepas iaitu hanya dalam tempoh enam bulan.

“Menjelang pertengahan Julai tahun ini, FAA kembali melakukan penilaian semula dan CAAM telah menyelesaikan semua maklum balas bagi 29 hasil penemuan dan semua pengurusan pelan tindakan pembetulan telah ditamatkan.

“Dua tahun lepas merupakan tempoh penting bagi CAAM kerana keseluruhan organisasi telah disusun semula manakala pelbagai usaha dijalankan untuk mengukuhkan tenaga kerja, dokumentasi dan membangunkan dasar latihan komprehensif untuk pemeriksa,” katanya.

Menurut Ka Siong, penarafan keselamatan udara Kategori 1 bermakna pihak berkuasa penerbangan awam Malaysia mematuhi piawaian keselamatan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

“Dengan penarafan IASA (Penilaian Keselamatan Penerbangan Antarabangsa) Kategori 1, syarikat penerbangan negara boleh menjalankan perkhidmatan ke AS dan membawa kod syarikat penerbangan AS…

“Untuk mengekalkan penarafan itu, sesebuah negara mesti mematuhi piawaian keselamatan ICAO.

“Sementara itu, penarafan Kategori 2 bermaksud negara berkenaan sama ada tidak mempunyai undang-undang atau peraturan minimum yang diperlukan untuk mengawasi syarikat penerbangan mengikut piawaian antarabangsa, atau pihak berkuasa penerbangan awamnya kekurangan dalam satu atau lebih aspek, seperti kepakaran teknikal, kakitangan terlatih, rekod atau prosedur penyimpanan atau pemeriksaan,” katanya.

Pada November 2019, Malaysia telah diberikan Kategori 2 dalam penarafan keselamatan udaranya di bawah program IASA oleh FAA kerana ketidakpatuhan terhadap piawaian keselamatan ICAO.

Hasil penilaian mendapati CAAM mempunyai 58 penemuan secara keseluruhan, 25 daripadanya dapat diselesaikan manakala 33 masih terbuka, yang membawa kepada penurunan taraf keselamatan udara pada tahun tersebut.