KOTA KINABALU: Lembaga Pelesenan Keneeraan Perdagangan (LPKP) Sabah telah mengeluarkan Surat Tunjuk Sebab (STS) terhadap sembilan orang pengusaha kenderaan pengangkutan awam negeri ini.
Pengerusi LPKP, Datuk Chin Kim Hiung dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini berkata pengeluaran STS itu berikutan adanya pelanggaran syarat lesenmelibatkan lima pengusaha bas berhenti-henti, tiga pengusaha bas ekspres serta satu pengusaha bas mini.
Mengulas lanjut, antara pelanggaran syarat lesen yang dilakukan oleh pengusaha terbabit adalah tidak bermula serta melalui laluan yang diluluskan oleh lembaga dan. beroperasi di luar kawasan yang diluluskan lembaga.
Disamping itu, antara pelanggaran syarat yang dikenal pasti dilakukan pengusaha berkenaan adalah mengenakan tambang melebihi kadar yang diwartakan oleh kerajaan, tidak mematuhi tanda badan bas seperti yang ditetapkan oleh LPKP dan tidak memberikan tiket kepada penumpang.
“Daripada jumlah tersebut, lembaga telah bersetuju untuk membatalkan dua lesen pengusaha bas berhenti-henti serta menggantung lesen tiga pengusaha yang melibatkan dua bas berhenti-henti dan satu bas mini…
“Pada masa yang sama, Lembaga masih menunggu maklum balas empat pengusaha pengangkutan awam terbabit bagi untuk mengemukakan reprentasi bertulis yang akan dibawa ke mesyuarat lembaga akan datang bagi tujuan tindakan lanjut,” katanya.
Selain itu, Chin turut berkata dalam mesyuarat lembaga, pihaknya juga telah menolak tiga permohonan pembaharuan lesen pengangkutan.
Menurutnya, ia disebabkan pemohon mempunyai rekod saman trafik tertunggak masing-masing berjumlah 10, 18 dan 43 saman yang mana ianya tidak memenuhi syarat permohonan lesen seperti yang ditetapkan LPKP Sabah.
“Dalam hal ini, saya menyeru kepada pengusaha pengangkutan awam di Sabah agar sentiasa peka kepada syarat dan peraturan yang telah ditetapkan oleh LPKP Sabah bagi mengelakkan mereka diambil tindakan.
“Saya ingin menekankan bahawa LPKP Sabah sentiasa memandang serius sebarang pelanggaran syarat dan peraturan kerana ianya melibatkan kebajikan serta keselamatan bukan sahaja kepada pemandu malah kepada penumpang serta pengguna jalan raya lain,” katanya.