KOTA KINABALU: Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Hajiji Noor memaklumkan bahawa parti itu telah meluluskan pindaan perlembagaan parti yang menyaksikan penyusunan semula struktur organisasi daripada 74 bahagian kepada 26 bahagian berasaskan sistem Parlimen.
Beliau berkata, pindaan yang diluluskan sebulat suara dalam Persidangan Agung Khas parti itu di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini akan dikemukakan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk kelulusan rasmi sebelum pengemaskinian struktur dilaksanakan.
“Alhamdulillah, syukur pindaan perlembagaan parti telah pun selesai dan diberi sokongan sebulat suara. Ini bererti pindaan kita daripada 74 bahagian kepada 26 telah diluluskan dan akan dikemukakan ke ROS untuk kelulusan.
“Jadi, kita akan membuat pengemaskinian struktur parti kita selepas ini menggunakan sistem Parlimen.
“Selain daripada itu, kita juga dalam mesyuarat ini, kita bersedia untuk menghadapi pilihan raya akan datang. Kebetulan kita akan menghadapi Pilihan Raya Umum Parlimen, ini amat sesuai dengan pindaan yang kita buat ini,” katanya dalam sidang media selepas persidangan itu.
Menurut Hajiji, usul pindaan berkenaan mendapat sokongan penuh daripada semua perwakilan termasuk sayap Wanita, Pemuda dan Beliawanis.
“Maknanya bahawa pindaan perlembagaan kita ini disokong secara sebulat suara,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menyambut baik kemasukan kira-kira 200 ahli Parti Warisan dari Keningau yang menyertai Gagasan Rakyat sempena persidangan khas berkenaan.
“Saya amat senang hati dan gembira kerana sempena Perhimpunan Agung Khas ini, kita juga menerima kemasukan beramai-ramai ahli daripada Warisan di bahagian Keningau untuk sama-sama berjuang dengan Gagasan Rakyat,” katanya.
Mengulas mengenai kerjasama politik, beliau yang juga Ketua Menteri menegaskan Gagasan Rakyat sentiasa terbuka kepada sebarang bentuk kerjasama yang dapat membawa manfaat kepada Sabah dan rakyat negeri ini.
“Dalam politik semua kita mesti tengok seluas-luasnya. Kalau ia mendatangkan kebaikan kepada negeri, perpaduan rakyat, apa salahnya?
“Kerana matlamat kita, perjuangan kita ialah untuk bersatu padu dan membangunkan negeri kita,” katanya.






